RM3.47 juta selenggara 2 helikopter PDRM tidak aktif

Bayaran penyenggaraan helikopter berjumlah RM3.47 juta dibuat bagi dua helikopter yang tidak aktif melebihi tiga tahun dari 2017 hingga 2019.
Bayaran penyenggaraan helikopter berjumlah RM3.47 juta dibuat bagi dua helikopter yang tidak aktif melebihi tiga tahun dari 2017 hingga 2019.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat bayaran perkhidmatan penyelenggaraan berjumlah RM3.47 juta terhadap dua helikopter yang tidak aktif melebihi tiga tahun.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1, pengauditan telah dilaksanakan di Ibu Pejabat PDRM terhadap bayaran perkhidmatan penyelenggaraan bagi tahun 2018 hingga September 2019.

Laporan itu menyebut pengauditan itu dilaksanakan untuk menentukan bayaran penyenggaraan mengikut peraturan dan kontrak yang sedang berkuat kuasa.

“Semakan lanjut mendapati bayaran penyenggaraan helikopter berjumlah RM3.47 juta telah dibuat bagi dua helikopter iaitu 9M-PHA dan 9M-PHF yang tidak aktif melebihi tiga tahun dari tahun 2017 hingga 2019,” menurut laporan itu.

Berdasarkan Laporan Bulanan Penyenggaraan Helikopter, sebanyak enam daripada 10 helikopter diklasifikasikan sebagai tidak aktif kerana tidak mencapai jam penerbangan yang ditetapkan.

“Daripada enam helikopter yang tidak aktif, sebuah helikopter dalam proses pelupusan, sebuah tidak aktif kurang dari enam bulan dan empat lagi tidak aktif melebihi enam bulan,” menurut laporan itu.

Laporan itu turut memaklumkan, ia berlaku kerana syarat kontrak penyenggaraan hanya membenarkan potongan harga maksimum terhadap tiga helikopter pada satu masa sehingga menyebabkan pembaziran jumlah itu.

Terma kontrak perkhidmatan penyenggaraan menyatakan, selepas enam bulan helikopter tidak aktif, bayaran tetap bulanan penyenggaraan helikopter yang dikenakan untuk satu helikopter akan dikurangkan sebanyak 25 peratus.

Artikel Berkaitan:

Bayaran tetap bulanan penyenggaraan helikopter adalah sejumlah RM38,500 dan selepas pengurangan adalah RM28,875.

Audit mengesyorkan supaya kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sepatutnya tidak mengehadkan bilangan maksimum helikopter yang boleh diberi pengurangan bayaran penyenggaraan pada satu masa kerana kerosakan yang berlaku di luar jangkaan. - Bernama