Lagi kes baharu tertinggi direkodkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Biarpun baru diumumkan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin lalu, hari ini negara sekali lagi merekodkan kes tertinggi iaitu 2,234 kes positif Covid-19.

Sebelum ini, kes baharu tertinggi pernah direkodkan pada 24 November lalu dengan 2,188 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 78,499 kes.

"Kes aktif iaitu pesakit yang sedang dirawat juga turut meningkat kepada 11,867 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kes jangkitan dalam negara pula adalah 2,229 kes," katanya.

Beliau berkata, Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 1,428 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 1,321 kes adalah daripada saringan kontak rapat dan kluster-kluster," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan kes-kes positif di Selangor melibatkan kluster-kluster berkaitan tempat kerja terutamanya Kluster Seruling dan Kluster Hentian.

"Kluster Seruling merekodkan 842 kes manakala Kluster Hentian pula 315 kes," katanya.

Menurutnya, kes di Selangor dijangkakan akan kekal tinggi susulan perluasan Program Saringan Pekerja Warga Asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tindakan proaktif majikan di Lembah Klang.

"Sehingga kini, pengesanan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif masih giat dijalankan di lapangan dan kes-kes yang terlibat telah diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 dan Hospital Sungai Buloh," katanya.

Beliau berkata, selain Selangor, dua negeri lain yang melaporkan kes harian baharu tertinggi adalah Sabah iaitu 274 kes dan Kuala Lumpur 136 kes.

"Perak merekodkan 115 kes, Johor (100), Negeri Sembilan (67), Pahang (45), Pulau Pinang (42) dan Kedah 14 kes.

"Melaka pula mencatatkan lima kes, Kelantan dan Terengganu masing-masing merekodkan tiga kes serta Sarawak dan Putrajaya satu kes.

"Hanya Perlis dan Labuan sifar jangkitan Covid-19 hari ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 124 kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 60 memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 396 kes," katanya.

Katanya, kes pulih merekodkan pertambahan 1,112 kes.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 66,236 kes bersamaan 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.