KPI Kelantan FC

Norizam
Norizam
A
A
A

PEMILIK TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman menetapkan beberapa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dipatuhi oleh barisan pemain serta pegawainya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Menurut Norizam, prestasi setiap pemain serta jurulatih TRW Kelantan FC akan dinilai berdasarkan KPI tersebut bagi menentukan hala tuju pasukan di pentas liga domestik.

“Setiap pemain yang menyarung jersi Kelantan FC nanti semuanya ada KPI. Bukan setakat jaringan gol diambil kira tetapi aspek kecergasan, disiplin kehadiran latihan turut diambil kira sebagai penilaian KPI.

“Tangga gaji baharu juga diubah agar selaras dengan KPI iaitu bonus tambahan sekiranya ada kejuaraan yang dikecapi. Mereka juga ada KPI marketing (pemasaran) untuk bantu pasukan jana pendapatan.

“Barisan jurulatih juga ada KPI mereka sendiri dan sudah tentu prestasi pasukan di tengah padang dijadikan ukuran. Sama seperti pemain, sistem gaji jurulatih juga selaras dengan KPI yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam pada itu, Norizam atau lebih terkenal dengan panggilan Zamburger berkata, persiapan TRW Kelantan FC setakat ini berjalan lancar termasuk rundingan dengan ketua jurulatih baharu dari Itali.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, beberapa isu di luar jangkaan terutamanya krisis ketidaktentuan pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini menyebabkan urusan untuk membawa pengendali terbabit tertangguh seketika.

“Kami sedang menguruskan kedatangannya ke negara ini. Jika tiada sebarang masalah, Insya-ALLAH jurulatih baharu itu akan sampai ke tanah air untuk membimbing Kelantan FC.

Artikel Berkaitan:

“Mengenai pemain import pula, kami berdepan sedikit kesulitan selepas dikenakan 'transfer ban' oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran masalah yang berlaku sebelum ini.

“Namun, kami sedang berurusan dengan pihak FIFA untuk menyelesaikan masalah yang berlaku ini. Jika berjaya, kami sudah ada beberapa pemain terbaik yang menyatakan minat untuk beraksi dengan Kelantan FC,” jelasnya.

Pada masa sama, usahawan yang juga pakar pelaburan itu memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mempersiapkan pusat latihan khas yang baharu untuk kegunaan TRW Kelantan FC.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, pusat latihan itu antara langkah pertama saya selepas mengambil alih Kelantan FC. Kami mahu wujudkan pusat latihan itu supaya pemain dapat berlatih di satu kawasan khas yang menepati spesifikasi FIFA,” ujarnya.