Sukan Asia: Azizulhasni mara ke separuh akhir acara pecut

DATUK Azizulhasni Awang meneruskan pemburuan pingat apabila mara ke separuh akhir acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebentar tadi.
Pelumba berpengalaman negara itu tampil kemas di Velodrom Izu, Shizuoka apabila menewaskan pelumba tuan rumah, Kanata Takahashi, 2-0 pada aksi suku akhir.
Azizulhasni sebelum ini muncul pelumba ketiga terpantas dalam pusingan kelayakan yang berlangsung semalam.
Kaiya Ota dari Jepun turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menundukkan Kirill Kurdidi dari Kazakhstan, manakala Li Zhiwei menyingkirkan Kang Shih-Feng dari Taiwan dengan keputusan sama.
Satu lagi slot separuh akhir masih menjadi rebutan Xie Han dari China dan wakil Thailand, Jai Angsuthasawit, yang terikat 1-1 selepas dua perlumbaan.
Kedua-duanya perlu melalui perlumbaan penentuan bagi melengkapkan senarai empat pelumba yang akan beraksi di separuh akhir.
Aksi separuh akhir dan final pecut individu lelaki dijadual berlangsung lewat hari ini.
Dalam saingan wanita, Nur Alyssa Farid menamatkan pusingan kelayakan di tempat keempat dengan catatan 10.708 saat, manakala Izzah Izzati Asri berada di kedudukan keenam dengan 10.764 saat.
Yuan Liying dari China muncul terpantas dengan 10.155 saat, diikuti Mina Sato dari Jepun (10.209s) dan seorang lagi wakil China, Jiang Yulu (10.352s).
Pada pusingan pertama nanti, Izzah akan berdepan Kim Haeun dari Korea Selatan, manakala Alyssa menentang Chen Ching-yun dari Taiwan.
Malaysia setakat ini sudah mengumpul dua pingat dalam acara berbasikal trek wanita, masing-masing perak menerusi pecut berpasukan dan gangsa acara keirin yang dimenangi Izzah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
