Disiplin pacu perkembangan prestasi Arif Aiman

Arif Aiman memiliki kemampuan teknikal individu selain menunjukkan sikap profesional di dalam dan luar padang. Foto: Facebook Malaysia NT
Arif Aiman memiliki kemampuan teknikal individu selain menunjukkan sikap profesional di dalam dan luar padang. Foto: Facebook Malaysia NT
A
A
A

KETUA Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya disiplin yang tinggi dimiliki Arif Aiman Mohd Hanapi menjadi antara faktor penting dalam perkembangan prestasi pemain itu.

Cheng Hoe berkata, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 24 tahun itu bukan sahaja mempunyai kemampuan teknikal individu, malah juga menunjukkan sikap profesional di dalam dan luar padang.

"Kalau kita lihat dari segi bakat, sebenarnya Arif Aiman ini memang istimewa, dia mempunyai teknikal individu yang luar biasa.

"Apa yang penting, di dalam dan luar padang dia pun seorang yang berdisiplin," kata jurulatih berusia 58 tahun itu ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan negara dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di Bandung.

Pada masa sama, beliau berkata, pengalaman Arif Aiman beraksi bersama-sama JDT di pentas tertinggi Asia turut memberinya pendedahan berdepan pemain dan pasukan berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, Cheng Hoe percaya masih terdapat ruang untuk pemain itu terus memperbaiki permainannya dan berkembang pada masa depan.

"Kita harapkan Arif Aiman mempunyai banyak ruang untuk terus berkembang. Sudah tentu, dia seorang pemain yang sangat berdedikasi dan berdisiplin tinggi," jelasnya.

Arif Aiman setakat ini menjadi antara tonggak utama Malaysia dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026 selepas meledak dua gol ketika membantu pasukan negara menewaskan Bangladesh 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.

Beliau turut mencuri perhatian ketika Malaysia seri tanpa jaringan menentang Indonesia pada aksi kedua kumpulan selepas mempamerkan persembahan bertenaga dan berjaya menyaingi pemain pertahanan warisan pasukan tuan rumah yang beraksi di liga utama Eropah.

Artikel Berkaitan:

Malaysia akan berdepan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung malam ini yang akan menjadi penentuan pasukan ke final. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!