Sukan Asia: Kegagalan skuad badminton perlu tindakan drastik - Roslin

PRESTASI skuad badminton kebangsaan mengundang perhatian selepas gagal mencapai sasaran pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus meletakkan cabaran besar buat barisan kejurulatihan dan pengurusan dalam merangka strategi pemulihan jangka panjang.
Bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim berkata, keadaan itu menuntut tindakan drastik daripada semua pihak terutama menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 di samping keperluan mendesak untuk mengumpul mata ranking kelayakan Olimpik bermula tahun depan.
"Sasaran skuad badminton pada asalnya dua pingat perak dan dua gangsa kalau tidak silap saya, tapi kita cuma dapat satu daripadanya. Jadi boleh dikatakan misi pada edisi Sukan Asia kali ini gagal kerana tidak mencapai apa yang ditetapkan.
"Persediaan rapi tanpa bersikap sambil lewa amat penting kerana tempoh setahun menjelang saingan seterusnya amat singkat, tambahan pula atlet negara perlu mengharungi pelbagai kejohanan besar untuk mengutip mata ranking," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada acara larian Run With Legends yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) yang juga penganjur acara, Ikhlas Kamarudin di Kopi & Pantun, Seksyen 10, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai kelompongan yang perlu diberi perhatian segera, Roslin menegaskan fokus mesti ditumpukan kepada kategori perseorangan lelaki dan wanita, selain keperluan melahirkan lebih banyak gandingan pelapis berwibawa bagi mengelakkan kebergantungan kepada pasangan Pearly Tan-M Thinaah.
Pasangan beregu wanita utama negara itu menamatkan penantian 12 tahun Malaysia pada Sukan Asia dengan meraih pingat gangsa selepas tewas kepada pilihan utama dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-16, 20-22, 12-21 di separuh akhir.
Dalam pada itu, Roslin mengingatkan agar barisan pemain negara tidak memandang remeh ancaman daripada negara serantau lain seperti kemunculan Thailand dan Singapura, yang kini semakin menunjukkan peningkatan prestasi di pentas antarabangsa.
Dari segi kedudukan semasa pada peringkat antarabangsa, beliau yang juga pemenang pingat emas perseorangan lelaki Sukan SEA 2001 berkata prestasi skuad negara dilaporkan mengalami penurunan ketara apabila berada di kedudukan keenam hingga kelapan dunia berbanding kelompok tiga terbaik sebelum ini.
Roslin bagaimanapun berkata pencapaian sebenar di atas gelanggang sama ada dalam acara berpasukan atau individu jauh lebih penting berbanding kedudukan ranking atas kertas, sekali gus menuntut anjakan paradigma dalam sistem latihan dan pengurusan atlet.
"Faktor kejayaan tidak hanya terletak pada pengurusan dan jurulatih semata-mata, tetapi kehendak serta inisiatif peribadi pemain itu sendiri menjadi penentu utama kepada tahap pencapaian yang diidamkan," katanya.
Terdahulu, Roslin menyertai hampir 200 peserta berlari sejauh 5 kilometer di sekitar pusat bandar raya Shah Alam dalam acara Run With Legends bersempena dengan ikhlas.com Half Marathon 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 6 Dis ini.
Acara yang diadakan dengan kerjasama Shah Alam Running Club itu turut menampilkan personaliti sukan terkenal di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), antaranya Khalid Jamlus (bola sepak), Datuk Zainal Abidin Hassan (bola sepak), Datuk Zaiton Othman (olahraga), Karamjit Singh (permotoran) dan Penasihat Komersial ikhlas.com Datuk Rosyam Nor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
