Semua program libat penceramah tular diarah henti serta-merta - Fadhlina

SHAH ALAM - Semua program melibatkan seorang penceramah bebas diarahkan dihentikan serta-merta susulan tular dakwaan bahawa individu itu terlibat perlakuan tidak wajar terhadap pelajar.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada siasatan penuh berhubung dakwaan yang sedang tular.
Menurutnya, pihaknya mengambil maklum mengenai beberapa dakwaan melibatkan penceramah bebas berkenaan yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid.
"Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini.
"Berhubung perkara ini, saya menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan tular mengenai penceramah berkenaan dikongsikan di media sosial termasuk dakwaan individu tersebut dikatakan terlibat perlakuan pedofilia dan menjadikan pelajar sebagai mangsa.
Fadhlina berkata, laporan kepada pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya.
Beliau menegaskan, keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti, sekali gus keselamatan anak-anak di bawah jagaan sekolah tidak boleh dikompromi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

