Ke mana Melayu selepas ICERD?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyertai perhimpunan 'kesyukuran' menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka. - Foto Bernama
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyertai perhimpunan 'kesyukuran' menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka. - Foto Bernama
A
A
A

DALAM sejarah perjuangan orang Melayu, terdapat tiga perhimpunan paling besar iaitu perhimpunan menentang Malayan Union (1946), perhimpunan menyambut kemerdekaan (1957) dan perhimpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) (2018).

Tetapi, antara ketiga-tiga perhimpunan itu, perhimpunan menentang ratifikasi ICERD adalah yang paling besar.

Perhimpunan itu berjaya menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik cadangan untuk meratifikasi ICERD; tiga bulan kemudian menarik balik cadangan untuk meratifikasi Statut Rom; lima bulan selepas itu termaktubnya Piagam Muafakat Nasional (MN) UMNO-Pas dan membawa kepada kejatuhan kerajaan PH setelah berkuasa hanya selama 22 bulan. Itu adalah kejayaan politik orang Melayu yang paling besar semenjak kemerdekaan.

Kesemua itu mengubah landskap politik Malaysia dan menjadi tamparan hebat kepada cita-cita orang Cina yang memberi sokongan padu kepada DAP dan orang India yang menyokong Hindraf untuk mencabar hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kejayaan itu telah membawa ketenteraman kepada negara dan ketenangan kepada sebahagian besar orang Melayu. Hindraf sudah tidak kedengaran lagi. Penyokong-penyokong DAP juga sudah agak senyap. Tetapi, jika mereka tidak membakar mercun, sama ada senyap-senyap mereka sedang membuat kuih bulan, kita tidak tahu. Orang Melayu perlu waspada.

Apa telah terjadi kepada politik orang Melayu selepas perhimpunan menentang ICERD?

Tidak lama selepas termaktubnya Piagam MN, sebelum jatuhnya kerajaan PH lagi, Pas telah menyatakan sokongannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Tindakan Pas itu menyebabkan UMNO merasakan Pas telah membelakangkan MN. Ini dikuatkan lagi apabila, selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas terus memberi keutamaan kepada hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bukannya kepada UMNO, antara lain, dengan bersetuju menjadi anggota PN untuk tujuan pendaftaran PN sebagai sebuah parti politik.

Artikel Berkaitan:

Kejatuhan kerajaan PH telah memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu memperkukuh kekuatan politik Melayu/Islam di Malaysia, bukan untuk mengambil hak orang lain, tetapi semata-mata mempertahankan hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Tetapi, semenjak pembentukan Kabinet kerajaan PN lagi, kita sudah dapat lihat tumpuan diberi lebih kepada memperkuatkan kedudukan Perdana Menteri dan partinya, menyebabkan rasa tidak puas hati kepada rakan gabungan PN, khususnya UMNO yang merasakan ia terpinggir.

Pemimpin-pemimpin UMNO pula bercakaran sama sendiri. Yang mendapat habuan dalam kerajaan PN merasa selesa dengan Bersatu sehingga sudah mula membelakangkan UMNO. Ada yang tidak dapat apa yang dikehendaki, termasuk untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang, sanggup pula bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan PN dan bekerjasama dengan PH dan DAP. Syukurlah mereka gagal.

Saya tidak kisah siapa yang menjadi Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti yang menjadi anggota kerajaan PN selain daripada beberapa orang yang sedang menghadapi kes di mahkamah melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah.

Saya tidak berkata mereka bersalah sehingga mereka didapati bersalah oleh mahkamah. Tetapi, ini soal imej parti di mata pengundi dan imej negara di mata dunia. Selain itu, apa yang penting ialah PH tidak berkuasa semula atau gabungan yang serupa dengannya tidak berkuasa, sebelum PRU15.

Biar apa pun, kita berasa lega apabila Rang Undang-undang Belanjawan 2021 telah diluluskan di peringkat dasar. Ertinya, sedikit sebanyak 'common sense' masih ada pada mereka. Kita harapkan ia akan berkekalan sehingga tamatnya ancaman Covid-19 dan PRU15 diadakan. Tetapi, apa yang sedang berlaku di Perak menyebabkan ketidaktentuan pula.

Saya tidak risau sangat mengenai orang Melayu sekarang. Majoriti mereka telah menyedari bahaya pemerintahan gabungan PH dan kerjasama dengan DAP.

Lebih pentingkan kuasa

Tetapi saya risaukan pemimpin-pemimpin politik Melayu. Kebanyakan mereka terlalu mengutamakan kepentingan diri, bukan memperkuatkan kedudukan politik orang Melayu Islam. Maka, saya harap umat Melayu Islam dan NGO-NGO Melayu Islam akan memperingatkan pemimpin-pemimpin politik Melayu supaya terus berada di atas landasan yang betul demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika ahli-ahli UMNO tidak mahu atau tidak sanggup membersihkan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti, kita harap umat Melayu Islam dan NGO-NGO Melayu Islam yang masih sayangkan UMNO boleh mengenakan tekanan terhadap mereka supaya berundur.

Tiga perkara yang perlu diberi perhatian sekarang ialah pertama, menghalang PH atau gabungan yang serupa dengannya daripada berkuasa sebelum PRU15. PH atau gabungan baharu itu tidak boleh berkuasa melainkan ada ahli-ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN, termasuk daripada UMNO, berpaling tadah. Hal seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Walaupun ia tidak sunyi daripada kelemahan, kerajaan PN perlu dipertahankan sehingga PRU15. Kelemahan boleh diperbaiki. Terlepas kekuasaan politik kali kedua, jangan harap ia akan dapat diperoleh semula dalam masa terdekat.

Kedua, membuat persediaan untuk menghadapi PRU15. Yang paling penting ialah meletakkan calon-calon yang bersih, berkelayakan dan berkebolehan. Pengundi sudah pandai menilai integriti dan kesesuaian seseorang calon.

Kita memerlukan orang untuk membuat undang-undang dan menteri-menteri yang boleh mentadbir kementerian dan yang boleh berhadapan dengan pemimpin-pemimpin negara luar, bukan yang akan memalukan Malaysia di mata dunia.

Selain itu, adalah amat penting mengelak pertandingan sesama sendiri. PH atau gabungan yang serupa dengannya tidak boleh menang di kawasan majoriti Melayu. Ia akan menang jika parti-parti Melayu memecahbelahkan undi orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin Melayu hendaklah mengetepikan kepentingan diri untuk memastikan kemenangan gabungan parti-parti Melayu, tidak kiralah apa namanya. Hasad dengki, tamak haloba, cantas-mencantas, konspirasi dan sabotaj hendaklah dibuang sama sekali.

Ketiga, menyediakan perancangan apa yang akan dilakukan selepas menang PRU15. Tanpa perancangan yang jelas dan berkesan, kita hanya akan mengulangi sejarah kerajaan PH.

Janganlah selepas berjaya membantah ratifikasi ICERD dan menjatuhkan kerajaan PH, kita sendiri yang menyerahkan kerajaan kepada PH atau gabungan yang serupa dengannya yang akan meratifikasikan ICERD semula. Itu yang orang Melayu, terutama sekali pemimpin-pemimpin politik Melayu, perlu fikir.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara