Imbau nostalgia Gua Sireh

Abdul Karim (empat, kiri), Siti Aminah (tiga, kanan) bergambar bersama pengunjung dalam Gua Sireh.
Abdul Karim (empat, kiri), Siti Aminah (tiga, kanan) bergambar bersama pengunjung dalam Gua Sireh.
A
A
A

BALING - Gua Sireh yang kini dalam usaha dipromosikan sebagai kawasan pelancongan meninggalkan 1001 kenangan buat generasi awal menerokai gua berkenaan.

Siti Aminah Che Mud, 64, berkata, gua itu sekitar tahun 70-an menjadi tumpuan pencari baja tahi kelawar dan ia merupakan punca rezeki utama penduduk ketika itu.

Menurutnya, setiap hari ratusan orang tidak kira lelaki atau wanita akan masuk ke gua berkenaan.

"Kami masuk guna pelita karbaid. Tugas kami korek baja letak dalam tong dan himpun di tempat ditetapkan.

"Masa tu yang letih akan berhenti rehat di satu sudut gua," katanya.

Katanya, kehidupan sukar ketika itu memaksa ibu bapa membawa anak masing-masing ke dalam gua tersebut.

"Anak-anak ini ditempatkan di ruang dalam gua, waktu itu kita pi cari baja ada la orang lain tolong jaga.

"Macam itu juga dengan makcik, waktu orang lain pi cari baja kita pula tolong jaga anak depa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siti Aminah berkata, gaji mereka ketika itu dibayar berdasarkan kuantiti baja yang dipenuhkan dalam tong besar.

"Baja-baja ini dihantar ke Alor Setar untuk digunakan bagi penanaman padi.

"Baja tahi kelawar sangat berkualiti, padi zaman itu tak perlu guna racun," katanya.

Katanya, dia kini terharu apabila melihat gua itu, kini diusahakan Persatuan Penduduk Dalam Wang untuk dijadikan pusat pelancongan kembali dikunjungi ramai.

"Dah lebih 20 tahun Mak Cik tak masuk dalam gua ini, bila datang sekarang banyak yang berubah terutamanya pada lampu yang dipasang dalam gua.

"Rasa terharu bila tengok gua ni dimajukan, meriah macam dulu. Bila tengok gua ini sekarang rasa sebak pun ada," katanya.

Manakala, Abdul Karim Aziz, 64, yang turut terlibat mencari baja tahi kelawar berkata, Gua Sireh pada tahun 70-an turut menjadi tumpuan dari luar daerah ini.

Menurutnya, dia bekerja sebagai pencari baja di gua itu lebih daripada lima tahun dan sebelum itu sudah ramai yang bekerja di situ.

"Waktu itu tiada lagi kilang-kilang dibina di daerah ini. Gua Sireh menjadi pusat tumpuan ekonomi. Waktu itu dapat gaji RM4 dah dikira banyak. Sehari untuk orang yang kerja kuat boleh dapat RM7 atau RM8.

"Dengan RM4 boleh beli gula, beras, kopi, minyak dan tepung. Beras segantang pada zaman itu baru berharga RM1.60 ke RM1.70," katanya.

Katanya, dalam gua itu juga beberapa pencari rezeki terkorban akibat ditimpa batu ketika aktiviti mengorek baja.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Dalam Wang, Hassan Aziz berkata, lebih 200 mengunjungi gua itu pada hari promosi yang diadakan pada Sabtu dan kelmarin.