X

Kindly register in order to view this article
!

Elak dijangkiti Covid-19 ketika rentas daerah, negeri

Rakyat Malaysia yang perlu merentas daerah dan negeri dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19. - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia yang perlu merentas daerah dan negeri dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah mengelakkan diri daripada dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi memastikan diri tidak dijangkiti, setiap individu perlu mengamalkan langkah pencegahan yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sekarang memang ada kelonggaran (rentas negeri) telah diberikan, namun apa yang penting ialah pastikan tidak terdedah dengan kes positif Covid-19," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM menjangkakan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di negara ini dalam tempoh dua minggu akan datang berada pada 0.95 dan 1.05.

"Bagi tempoh ini, jumlah kes harian yang dijangka akan rekodkan adalah lebih kurang 845 hingga 1,700 kes jika tiada peningkatan dari segi kadar jangkitan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, KKM memantau perkembangan dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Kalau kes harian lebih kurang, kita jangkakan boleh hidupkan ekonomi negara. Namun jika berlaku pertambahan kes, kita akan fikir dan gunakan strategi lain," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kebimbangannya adalah sekiranya Rt meningkat kepada 1.5 yang mana kes positif harian boleh mencapai 6,500.

"Jika Rt meningkat kepada kadar 2.2, kes mungkin akan mencecah lima angka. Jadi kita mohon kerjasama semua pihak agar patuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Menyentuh mengenai saringan pekerja asing, beliau berkata, enam negeri telah dikenal pasti akan menjalankan saringan itu khususnya kepada pekerja tapak pembinaan dan kilang.

"Saringan akan dijalankan secara berperingkat dan kita jangka akan dapat mengenali kes positif," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!