X

Kindly register in order to view this article
!

Permit REE: Pulau Pinang gesa campur tangan Persekutuan

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon campur tangan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kelulusan permit meneroka industri mineral baharu, Rare Earth Element (REE) di Ulu Muda, Sik dan Baling dibatalkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memastikan usaha berbahaya ini dihentikan serta-merta bagi menjamin keselamatan bekalan air di negeri wilayah utara.

Menurutnya, kerajaan negeri berpandangan Menteri Besar Kedah dengan mudah telah melupakan peranan yang telah dimainkan oleh Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah datangnya dari Ulu Muda, manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diabstrak oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dari Sungai Muda, dekat muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang juga berasal dari Ulu Muda.

"Operasi penerokaan seluas 163,000 hektar ini sudah pasti akan melibatkan pembukaan tanah secara berskala besar seperti aktiviti penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali yang akan menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, aktiviti perlombongan juga akan memberi kesan buruk kepada Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah yang strategik.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius berhubung kelulusan permit yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah kepada sebuah syarikat bagi penerokaan mineral berskala besar yang dirujuk sebagai REE.

"Secara umum kami tidak bersetuju dan memohon pertimbangan serta campur tangan yang sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini," katanya.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri telah membuat perjanjian dengan syarikat usahasama berpengkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka REE tidak beradioaktif di Sik, Ulu Muda dan Baling.

ARTIKEL BERKAITAN: Mineral bernilai RM60 bilion diteroka di Kedah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!