Keakraban, kerjasama dua hala Malaysia-Brunei perlu diperkukuh: Agong

Al Sultan Abdullah. - Foto Bernama
Al Sultan Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keakraban, semangat kejiranan serta kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei, perlu diperkukuhkan lagi demi kepentingan serta kesejahteraan ekonomi bersama, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan, aliran perdagangan serta pelaburan antara Malaysia dan Brunei dapat terus dipertingkatkan lagi, khususnya jalinan kerjasama perniagaan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) kedua-dua negara.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Brunei dapat mempertimbangkan cadangan Malaysia bagi mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik untuk menghidupkan semula sektor ekonomi dua negara itu, susulan impak Covid-19,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata perkara itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah dalam Majlis Menghadap Perpisahan oleh Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha dan isteri, Datin Mariani Bongsu di Istana Negara hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Alaihuddin secara rasmi mula berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia pada 25 November 2014 dan akan menamatkan penempatannya pada hujung bulan ini.

Dalam majlis pada jam 11 pagi tadi, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Alaihuddin atas perkhidmatan beliau sepanjang enam tahun di Malaysia, khususnya dalam memperkukuhkan hubungan istimewa dan kerjasama erat antara kedua-dua negara.

“Seri Paduka Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada Alaihuddin dan kerajaan Brunei atas kerjasama baik, khususnya dalam menjayakan repatriasi rakyat kedua-dua negara yang terkandas ekoran daripada sekatan perjalanan akibat penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, seramai 160 rakyat Brunei di Malaysia telah selamat pulang melalui kerjasama ini. Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Brunei atas sumbangan berbentuk kit ujian Covid-19 kepada Malaysia,” kata Ahmad Fadil. - Bernama