Perlu ikut prinsip kepelbagaian budaya, kata Dong Zong

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menafikan bahawa pihaknya membantah pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Pengerusinya, Tan Tai Kim bagaimanapun berkata, pihaknya mahu ia dilaksanakan mengikut prinsip kepelbagaian budaya agar selaras dengan semangat hidup bersama dalam kepelbagaian.

“Dong Zong sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak membantah tulisan jawi tetapi berpendapat ia hendaklah berasaskan prinsip-prinsip kepelbagaian budaya agar selaras dengan semangat hidup bersama dalam kepelbagaian,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tetap meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di SJK dan SK.

Mengulas lanjut, Tai Kim berkata, pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu menimbulkan pertikaian banyak pihak terutama masyarakat Cina dan India.

“Ini kerana cara dan model yang dilaksanakan oleh KPM menimbulkan keraguan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Cina dan India.

“Justeru, kami telah meminta KPM melaksanakannya dengan pelbagai pendekatan seperti unit tulisan kaligrafi berbilang kelompok etnik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Lima yang dilaksanakan sejak tahun 2015,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan dilihat sesuai dengan masyarakat majmuk yang ada di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Ia sekali gus dapat menggalakkan silang budaya dan persefahaman antara kaum serta bukan semata-mata pengenalan tulisan jawi,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembelajaran jawi di SJK, SK diteruskan: KPM