Pembelajaran jawi di SJK, SK diteruskan: KPM

Kementerian Pendidikan meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021. Gambar hiasan Bernama
Kementerian Pendidikan meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, ia berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu yang memutuskan supaya pengenalan tulisan jawi tetap diteruskan di SJK dan SK.

"Inilah keputusan dibuat Jemaah Menteri dan pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh Jemaah Menteri," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) mengenai sama ada kerajaan akan meneruskan pembelajaran tulisan jawi di SJK dan SK.

Dalam pada itu, Muslimin berkata, asas pengajaran tulisan jawi adalah sebahagian daripada seni, warisan dan sejarah yang perlu dihargai dan diperkayakan.

Menurutnya, pengajaran tulisan jawi kepada murid-murid terbabit juga bukanlah seperti yang dimomokkan oleh sesetengah pihak.

"Kita bukan mengajar menulis dan membaca atau mengajar 30 huruf dalam 'Alif, ba, ta', sebaliknya ia sekadar proses pengecaman. Contohnya dalam wang kertas kita ada tulisan jawi di belakangnya.

"Ada tulisan Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia dalam tulisan jawi. Jadi, dalam pengenalan tulisan jawi bagi (murid) Tahap 2 Tahun 4 bermula tahun ini, hanyalah proses pengecaman yang perlu mereka pelajari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal dikemukakan Sabri berhubung kesinambungan tulisan jawi ditiadakan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan kursus-kursus berkaitan tulisan jawi disediakan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi, Muslimin berkata, kemahiran membaca dan menulis jawi masih lagi diuji dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menerusi mata pelajaran Pendidikan Islam.

Katanya, selain mata pelajaran Pendidikan Islam, mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah menggunakan tulisan jawi sepenuhnya, termasuk dalam soalan peperiksaan.

"Ada sekolah yang melaksanakan kem pemulihan jawi bagi murid sekolah menengah. Selain itu, terdapat juga sekolah yang menganjurkan aktiviti kokurikulum bagi menanam minat murid dalam jawi.

"Justeru Kementerian Pendidikan yakin bahawa pendekatan yang digunakan setakat ini mampu mengekalkan kesinambungan tulisan jawi pada peringkat sekolah menengah," katanya.