Tokoh pendidikan sokong penerusan dasar tulisan jawi di sekolah

Gambar kecil: Nawi (kiri) dan Hamzah
Gambar kecil: Nawi (kiri) dan Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh pendidikan menyokong keputusan kerajaan meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular di negara ini agar generasi muda dapat terus menguasai tulisan berkenaan.

Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail berkata, beliau bersetuju dengan dasar penerusan tulisan jawi kerana ia juga dapat memeliharanya daripada terhapus pada masa akan datang.

Menurutnya, isu penggunaan tulisan jawi tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia sekadar tulisan dan bukan menyentuh mengenai agama.

“Tulisan jawi bukan perkara baharu kerana zaman pemerintahan British di Tanah Melayu dulu pun, kita sudah guna tulisan ini dan tidak timbul apa-apa masalah.

“Ketika itu juga urusan surat menyurat antara raja-raja Melayu dengan pihak barat turut gunakan tulisan jawi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan akan tetap meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat berkata, keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu memutuskan supaya pengenalan tulisan jawi tetap diteruskan di SJK dan SK.

Sementara itu, Nawi menyifatkan pihak yang menentang tulisan jawi diajar di sekolah vernakular sebenarnya tidak memahami bahawa tulisan itu tidak bersangkutan dengan agama.

Artikel Berkaitan:

“Malah, pakar tulisan jawi sendiri bukanlah seorang Islam dan dia berasal dari Korea iaitu Profesor Dr Kang Kyoung Seok.

“Belajar tulisan jawi itu sama seperti belajar tulisan khat dan sebagainya,” kata beliau.

Justeru, beliau berkata, keputusan yang diambil kerajaan sangat tepat kerana dapat ia juga dapat mengelakkan generasi muda ‘buta’ tulisan jawi, seterusnya menyebabkan bahan bacaan dalam tulisan itu seperti surat khabar menjadi sejarah.

“Bagi umat Islam pula, mempelajari tulisan jawi sedikit sebanyak dapat membantu mereka mudah membaca al-Quran. Itu sahaja,” katanya.

Tokoh Guru Kebangsaan 2018, Hamzah Othman berkata, penerusan dasar tulisan jawi perlu kerana ia adalah salah satu elemen dalam komponen bahasa Melayu.

“Tulisan jawi adalah tulisan bahasa Melayu pada asasnya. Jadi kalau tulisan jawi dihapuskan, akan berlaku kecacatan pada bahasa Melayu itu sendiri.

“Bahasa pula ialah identiti bangsa. Oleh itu ia perlu terus dipelihara dan saya sangat-sangat menyokong langkah kerajaan meneruskan pembelajaran dan pengajaran tulisan jawi ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut juga dapat memastikan generasi muda terus menguasai tulisan jawi kerana keadaan sekarang sangat menyedihkan kerana majoriti mereka tidak pandai membaca tulisan jawi.

“Kita akan hilang identiti bangsa dan negara jika keadaan seumpama itu berterusan. Jadi memang sangat perlu tulisan jawi diajar di sekolah agar murid dapat benar-benar menguasainya dan bukan sekadar hanya mengenal huruf sahaja,” katanya.