Malaysia-Turkiye catat detik bersejarah dengan Mesyuarat HLSCC pertama

Anwar dan Recep Tayyip Erdogan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat pertama HLSCC Malaysia- Turkiye sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye di Kompleks Presiden hari ini. - Foto: Bernama
Anwar dan Recep Tayyip Erdogan bersama-sama mempengerusikan mesyuarat pertama HLSCC Malaysia- Turkiye sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye di Kompleks Presiden hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

ANKARA - Malaysia dan Turkiye mencatat detik bersejarah hari ini apabila pemimpin kedua-dua negara mempengerusikan bersama Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) Malaysia-Turkiye yang pertama, bagi memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor demi manfaat bersama.

Mesyuarat strategik itu diadakan bersempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye, yang bermula semalam atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Mesyuarat tersebut berlangsung selepas Anwar menerima sambutan rasmi daripada Erdogan di Kompleks Presiden di sini.

Ia dimulakan dengan pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin, sebelum disusuli dengan pemeteraian Deklarasi Bersama mengenai Penubuhan HLSCC.

HLSCC menyediakan rangka kerja berstruktur dan berinstitusi bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala, dan kali ini bersidang buat pertama kali, mencerminkan hubungan rapat serta jalinan persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Turkiye.

Majlis itu juga berfungsi sebagai platform utama bagi kedua-dua negara untuk menilai kerjasama sedia ada, mengkaji kemajuan inisiatif yang sedang dijalankan serta meneroka peluang baharu bagi kerjasama.

Perbincangan di bawah HLSCC dijangka merangkumi pelbagai sektor, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, pertahanan, keselamatan, tenaga, semikonduktor, kesihatan, pelancongan, pendidikan serta pertukaran rakyat dengan rakyat.

Selain itu, isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama turut dibincangkan.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (AS$4.92 bilion), menjadikan republik itu sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion). - Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Turkiye mencatat detik bersejarah dengan Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi yang pertama untuk memperkukuh hubungan dua hala
  • Mesyuarat strategik ini diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan
  • Pemeteraian Deklarasi Bersama mengenai Penubuhan HLSCC berlangsung selepas sambutan rasmi kepada Anwar oleh Erdogan
  • HLSCC menyediakan rangka kerja bagi meningkatkan kerjasama dua hala, mencerminkan hubungan rapat antara Malaysia dan Turkiye
  • Perbincangan di bawah HLSCC merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pertanian, pertahanan, keselamatan, dan pendidikan, serta meneroka peluang baharu bagi kerjasama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!