Tun M dinasihat berehat, pembedahan bukan opsyen terbaik - Mukhriz

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan berehat antara dua hingga tiga minggu susulan kecederaan patah tulang pinggul pada Selasa.
Anaknya yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembedahan bukanlah satu pilihan yang sesuai berikutan faktor usia bapanya yang sudah mencecah 100 tahun.
"Oleh kerana itu kita telah dinasihatkan oleh pakar-pakar di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk beliau melalui satu proses pemulihan yang biasa yang akan memakan masa sedikit.
"Tetapi tujuannya tentulah supaya dia kembali sihat macam biasa dan boleh terus bertugas seperti mana yang telah dilakukan selama ini," katanya menerusi satu video yang diterbitkan pada Rabu.

Bekas Menteri Besar Kedah itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang menzahirkan rasa simpati dan mendoakan kesihatan bapanya.
“Semoga ALLAH SWT memakbulkan doa kita semua, insya-ALLAH. Pada waktu sama, saya mohon dan merayu kepada semua, biarlah Tun Mahathir sempat untuk berehat dan betul-betul pulih serta sembuh sepenuhnya.
"Seperti mana saya katakan tadi ia akan makan masa, jadi bagilah dia masa sikit untuk dia betul-betul kembali sihat dan supaya dia boleh bersama kita dalam perjuangan kita, insya-ALLAH. Terima kasih semua.” ujarnya lagi.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan negarawan terbabit disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan dan dijangka dirawat di hospital selama beberapa minggu bagi tujuan rawatan serta pemantauan lanjut.
Tun Mahathir, 100, dimasukkan ke IJN kira-kira jam 9.30 pagi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff sebelum itu memaklumkan bahawa negarawan itu dibawa ke IJN dengan ambulans dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar ketika tiba di hospital.
Ringkasan AI
- Tun Dr Mahathir Mohamad disarankan berehat selama dua hingga tiga minggu kerana kecederaan patah tulang pinggul
- Pembedahan tidak dipilih sebagai opsyen kerana faktor usia Tun Mahathir yang sudah 100 tahun
- Pakar-pakar dari IJN dan HUKM menasihati proses pemulihan biasa yang memakan waktu
- Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan bapanya
- Tun Mahathir dimasukkan ke IJN selepas terjatuh di kediamannya dan dalam keadaan sedar ketika tiba di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

