Elak anjur majlis melibatkan perhimpunan

Orang ramai digesa supaya tidak merancang untuk menganjurkan majlis yang melibatkan perhimpunan, sehingga kes positif baharu Covid-19 negara kembali mencatatkan angka lebih rendah. - Gambar hiasan
Orang ramai digesa supaya tidak merancang untuk menganjurkan majlis yang melibatkan perhimpunan, sehingga kes positif baharu Covid-19 negara kembali mencatatkan angka lebih rendah. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai digesa supaya tidak merancang untuk menganjurkan majlis yang melibatkan perhimpunan, sehingga kes positif baharu Covid-19 negara kembali mencatatkan angka lebih rendah.

Catatan menerusi laman sosial Facebook Public Health Malaysia hari ini mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan penganjuran enam aktiviti yang melibatkan perhimpunan, walaupun pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan mulai hari ini.

"Jangan ada kenduri-kendara, elakkan family gathering (perhimpunan keluarga), tidak perlu majlis sosial, elakkan reunion (penyatuan semula), tidak perlu majlis hari jadi dan tidak perlu kenduri tahlil. Hentikan rancangan gathering (pengumpulan)," katanya.

Public Health Malaysia turut mencadangkan supaya orang ramai mengambil giliran dengan adik-beradik untuk pulang ke kampung selain membatalkan perjalanan pulang ke kampung jika tidak sihat.

"Jika anda ada berhubung dengan kes positif, pertimbangkan untuk tidak pulang ke kampung selama dua minggu," katanya.

Kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini.

Berkuat kuasa hari ini juga semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing serta polis tidak lagi akan melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) tetapi memfokuskan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Setakat hari ini, kes positif baharu Covid-19 masih mencatatkan empat angka dengan 1,600 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam negara sebanyak 74,294.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir Malaysia mencatatkan tiga angka bagi kes positif baharu Covid-19 ialah pada 2 Disember. - Bernama