'Sungai kotor, penuh sampah'

Sungai Aur, Pandamaran Klang yang dipenuhi sampah menyukarkan lebih 200 nelayan di kawasan itu untuk mencari rezeki.
Sungai Aur, Pandamaran Klang yang dipenuhi sampah menyukarkan lebih 200 nelayan di kawasan itu untuk mencari rezeki.
A
A
A

KLANG- Lebih 200 nelayan di Sungai Aur, Pandamaran di sini mengeluh apabila beberapa kawasan di laluan sungai yang menjadi sumber rezeki mereka kini kotor dan dipenuhi sampah.

Mereka mendakwa kilang haram di sepanjang sungai berkenaan menjadi punca pencemaran kerana membuang pelbagai sampah sarap termasuk sisa binaan mengakibatkan air keruh, busuk dan berlumpur.

Lebih menyedihkan kejadian itu sudah berlarutan kira-kira enam tahun lalu dan sehingga kini tiada penyelesaian dilakukan.

Salah seorang nelayan, Tan Yong Siang, 58, berkata, dia dan nelayan lain akan melalui sungai itu untuk ke laut.

“Pemilik kilang haram membuang pelbagai sisa di sungai ini menyebabkan air semakin keruh dan sampah sarap berkumpul di tengah sungai menyebabkan laluan dipenuhi sampah,” katanya Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, mereka hanya boleh menggunakan bot atau sampan melalui sungai berkenaan ketika air pasang bagi mengelakkan kipas bot rosak.

Yong Siang juga kecewa kerana pendapatan nelayan terjejas kerana sukar turun ke laut dan terpaksa menunggu air pasang.

Artikel Berkaitan:

Keadaan Sungai Aur Pandamaran, Klang yang dipenuhi sampah sarap dan kotor.
Keadaan Sungai Aur Pandamaran, Klang yang dipenuhi sampah sarap dan kotor.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang, Lee Fu Haw berkata, pencemaran sungai itu disebabkan oleh pencerobohan tanah kerajaan yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di sepanjang lengkok selat selatan kawasan Pandamaran di sungai itu.

Beliau berkata, pengusaha kilang haram mengambil peluang menggunakan tanah di kawasan itu sehingga sungai menjadi semakin sempit dan sisa sampah mencemarkan air.

“Tindakan ini mengakibatkan nelayan menghadapi kesulitan mencari rezeki, kipas bot mereka tersangkut dan terperangkap dengan sisa sampah sarap.

“Saya mohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu ini supaya nelayan dapat terus menyara kehidupan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han mengutuk perbuatan pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran air sungai itu.

“Orang awam diminta membuat laporan kepada pihak berwajib seperti Majlis Perbandaran Klang, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar jika mendapati ada pencerobohan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM200,000 hingga RM1 juta dan penjara tidak lebih tiga tahun.

“Ganjaran sebanyak RM20,000 untuk pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan penjenayah alam sekitar sehingga mereka disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya.