17 anggota Balai Polis Parit Sulong jalani kuarantin

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 17 anggota di Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat dikuarantin selepas dikesan mempunyai kontak dengan tiga anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat yang positif Covid-19.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai 15 anggota polis dan seorang kerani menjalani ujian saringan semalam manakala seorang lagi anggota hari ini.

“Semua anggota polis dan kerani berkenaan menjalani kuarantin di rumah sehingga mendapat keputusan swab test.

“Walaupun semua anggota dikuarantin, tetapi Balai Polis Parit Sulong masih beroperasi seperti biasa. Kita mendapat bantuan empat anggota polis dari Balai Polis Semerah, Balai Polis Sri Medan dan Balai Polis Yong Peng,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Batu Pahat dan Pengerusi Perkep IPD Seri Alam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Sebelum ini, tujuh anggota dan pegawai polis Johor disahkan positif Covid-19 membabitkan IPD Batu Pahat, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai, pihaknya memperketatkan lagi penguatkuasaan.

Katanya, pihaknya kini hanya mengadakan 11 daripada 23 sekatan jalan raya di seluruh negeri khusus untuk Ops Benteng bagi mengekang penyeludupan migran ke negara ini.

Artikel Berkaitan: