Polis guna dron pantau PKPD Kluster Huma

Suasana Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah yang menjadi lokaliti Kluster Huma lengang dan sunyi sepi.
Suasana Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah yang menjadi lokaliti Kluster Huma lengang dan sunyi sepi.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMASKINI] Polis Kelantan sedia menggunakan dron untuk memantau pergerakan penduduk di lokasi zon merah di Kampung Dalam Huma, Bukit Awang di sini susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah mulai tengah malam ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pemantauan dari udara bertujuan melihat struktur muka bumi kawasan berkenaan dikelilingi hutan termasuklah yang masih ditenggelami banjir.

"Walaupun PKPD akan bermula secara rasmi malam ini, namun kita telah ambil langkah awal dengan membuat tiga sekatan jalan raya di kawasan sekitar kampung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya di laluan utama Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah yang menjadi lokaliti Kluster Huma.

Semalam Kelantan merekodkan 35 kes baharu positif Covid-19 iaitu angka tertinggi setakat ini menjadikan kes aktif keseluruhan sebanyak 436 kes.

Kesemua kes baharu itu adalah kontak rapat Kluster Huma membabitkan remaja dan warga emas dari Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah.

Shafien (dua dari kiri) meninjau sekatan jalan raya di laluan utama Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah yang menjadi lokaliti Kluster Huma.
Shafien (dua dari kiri) meninjau sekatan jalan raya di laluan utama Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah yang menjadi lokaliti Kluster Huma.

Menurutnya, tiga sekatan itu bertujuan mengawal pergerakan keluar masuk selain usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis turut mendapat kerjasama dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) dalam melancarkan lagi penugasan sepanjang tempoh PKPD.

"Kita akan adakan rondaan dan kawalan di sekatan selama 24 jam setiap hari sepanjang tempoh itu," katanya.

Shafien berkata, setakat ini, lebih 100 warga Madrasah Ad-Diniah Al-Falah telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan menunggu status kesihatan mereka.

"Soal kebajikan penduduk dan warga pondok terutama keperluan makanan akan diputuskan dalam mesyuarat khas agensi berkaitan kerana sepanjang PKPD tidak dibenarkan sama sekali keluar masuk.

"Mereka yang sudah disahkan positif Covid-19 dihantar ke hospital untuk rawatan dan kuarantin.

"Penduduk sekitar juga dalam proses menjalani saringan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dari rumah ke rumah," katanya.