X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Johor terima geran RM30 juta bantu golongan rentan terjejas Covid-19

Hasni
A
A

ISKANDAR PUTERI - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran RM30 juta bagi membantu meringankan beban golongan rentan yang terjejas akibat Covid- 19 di Johor.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2021 dalam Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di Kota Iskandar di sini, hari ini.

“Yang berhormat tuan Speaker, pada pagi ini sukacita saya memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran khas berjumlah RM30 juta untuk meringankan beban kumpulan rentan yang terjejas Covid-19 di Johor. Terima kasih Yang Berhormat Perdana Menteri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta

Golongan rentan antaranya wanita, kanak-kanak, warga emas serta orang kelainan upaya ( OKU).

Hasni menerusi sesi penggulungan Belanjawan Johor 2021 itu juga memberitahu, kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 secara one- off kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan isu Covid- 19 ketika ini yang semakin serius.

Sebelum ini, Hasni menerusi pembentangan Belanjawan Johor 2021, pada 26 November lalu mengumumkan jumlah peruntukan kepada 27 wakil rakyat pembangkang di Johor dinaikkan tiga kali ganda daripada RM50,000 kepada RM150,000, berkuat kuasa tahun depan.

Mengenai cadangan pemotongan gaji yang dicadangkan beberapa ADUN sebelum ini katanya, kerajaan negeri perlu lebih realistik dan memikirkan kesan jangka panjang sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya tidak mahu kelak, ekoran keputusan yang dibuat, barisan kepimpinan saya dipersalahkan. Kita bukan lari daripada tanggungjawab tetapi belajar daripada teladan.

"Saya menghargai cadangan yang disampaikan. Namun, sumbangan untuk Tabung Bencana Negeri Johor hendaklah tidak bermotifkan untuk menarik simpati rakyat mahupun retorik semata-mata. Saya berharap janganlah politikkan isu potongan gaji dan elaun ini," katanya.

Dalam pada itu, Hasni meminta semua ADUN, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta serta individu untuk terus menyumbang ke dalam akaun Tabung Bencana Negeri Johor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!