Status halal daging sejuk beku: Umat Islam tak perlu bimbang

Tosrin (tiga dari kanan) menunjukkan sijil halal yang dipercayai palsu sewaktu tinjuan dilakukan ke atas sebuah gudang pembekal makanan sejuk beku di Taman Perindustrian Senai hari ini.
Tosrin (tiga dari kanan) menunjukkan sijil halal yang dipercayai palsu sewaktu tinjuan dilakukan ke atas sebuah gudang pembekal makanan sejuk beku di Taman Perindustrian Senai hari ini.
A
A
A

KULAI - Umat Islam di negeri ini diharap bertenang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi berhubung status halal daging sejuk beku selepas pembongkaran kegiatan kartel menyeludup masuk daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina yang kemudiannya dicampur dengan daging halal sebelum dijual di negeri ini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, beliau selaku Pengerusi Majlis Halal Negeri Johor memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi menangani isu tersebut kerana ia melibatkan kemudaratan umat Islam di negeri ini.

"Saya amat terperanjat dengan pembongkaran kartel daging ini, memang tidak sangka perkara ini berlaku. Ia cukup serius kerana melibatkan kemudaratan umat Islam bukan sahaja di Johor malah juga di seluruh negara.

"Saya amat berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor ( JAINJ) atas pembongkoran ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di gudang pembekal makanan sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, di sini hari ini.

Turut serta dalam tinjauan berkenaan, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Siti Nur Ahmad dan Pegawai Kastam Kanan (Bahagian Penguatkuasaan) negeri, Khalik Drahman.

Tosrin memberitahu, kerajaan negeri menerusi JAINJ akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin ini di Kompleks Islam Iskandar Johor Bahru berhubung isu kartel daging yang menipu logo halal melibatkan daging yang diimport masuk untuk pasaran tempatan negara ini.

"Semua agensi kerajaan yang terlibat dengan pembongkaran kartel ini termasuk pengusaha pelabuhan yang ada di Johor akan dipanggil menghadiri mesyuarat itu nanti.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi mesyuarat itu kita akan bincang dan rangka langkah seterusnya untuk memastikan kartel daging seperti ini tidak mudah membolosi ke pasaran sama ada melalui jalan darat atau laut," katanya.

Tambahnya, JAINJ kini sedang merangka satu aplikasi direktori halal untuk memudahkan pengguna Islam dan bukan Islam mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk yang hendak dibeli mereka.

"Produk halal mempunyai pasaran yang besar bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di peringkat antarabangsa melibatkan pengguna Islam dan juga bukan Islam.

"Bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan produk halal yang diyakini, kita sedang membangunkan satu aplikasi direktori halal yang akan dilancarkan Mac tahun depan," katanya.

Sinar Harian pada 23 November lalu mendedahkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jakim.

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.