Doktor antara tiga didakwa palsukan dokumen kelahiran bayi

Gim Hooi (kanan) dan Kok Leng (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen kelahiran kira-kira enam tahun lepas.
Gim Hooi (kanan) dan Kok Leng (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen kelahiran kira-kira enam tahun lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang doktor pakar sakit puan antara tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen kelahiran bayi di sebuah hospital swasta, di sini kira-kira enam tahun lalu.

Tertuduh, Yeoh Gim Hooi, 51, dan pasangan suami isteri, Sai Chom, 52, dan Yap Kok Leng, 59, bagaimanapun tidak mengaku bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 7.24 malam pada 22 Januari 2014 di sebuah hospital swasta di Alor Setar di sini.

Mereka bertiga didakwa memalsukan dokumen dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan menipu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di mahkamah berasingan, doktor lelaki itu turut didakwa atas dua pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri palsu iaitu borang daftar kelahiran dua bayi bagi maksud memudahkan sesuatu perbuatan pemerdagangan orang.

Bagaimanapun, Gim Hooi membuat pengakuan sama atas kedua-kedua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan membuat dokumen daftar kelahiran bayi palsu di sebuah hospital swasta di Alor Setar lebih kurang jam 6.55 petang pada 19 September 2019.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membuat dokumen pengenalan diri palsu iaitu borang daftar kelahiran seorang bayi kira-kira jam 3 petang pada 24 Februari lepas di hospital swasta sama.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Di mahkamah sama, pasangan suami isteri itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi berusia empat hari di sebuah rumah ibadat lebih kurang jam 6.45 petang pada 22 September lepas dan seorang bayi berusia tiga bulan lebih kurang jam 7 malam pada 28 Februari lepas di sebuah kediaman di Alor Janggus.

Kedua-dua tertuduh didakwa menyalahi Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, seorang wanita dipercayai ibu bayi tersebut turut dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat dengan pasangan suami isteri itu untuk memperdagangkan bayi berusia tiga bulan itu.

Tertuduh, Ooi Hui Siang, 30, yang didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 7 malam, 28 Februari lepas di sebuah kediaman di Alor Janggus turut minta dibicarakan.

Tertuduh didakwa menyalahi Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, seorang lelaki, Lim Say Wei, 37, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan borang daftar kelahiran palsu sebagai dokumen tulen lebih kurang jam 3 petang pada 1 Mac lepas di Jabatan Pendaftaran Negara Kedah.

Mahkamah membenarkan Gim Hoi diikat jamin sebanyak RM38,000, Kok Leong dan Sai masing-masing RM44,000, Hui Siang RM15,000 dan Say Wei RM12,000 dengan penjamin, manakala 5 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail sementara tertuduh, Gim Hooi diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid, manakala Kok Leong dan isterinya diwakili peguam, Eng Yuh Pei.

Say Wei pula diwakili peguam, S Shathishbhabu menakala Hui Siang tidak diwakili peguam.