Bayi dengan DNA tiga individu lahir di UK

Bayi pertama dengan DNA daripada tiga orang dilahirkan di United Kingdom (UK) selepas satu prosedur khas IVF. - Foto hiasan
Bayi pertama dengan DNA daripada tiga orang dilahirkan di United Kingdom (UK) selepas satu prosedur khas IVF. - Foto hiasan
A
A
A

LONDON - Bayi pertama dengan DNA daripada tiga orang dilahirkan di United Kingdom (UK) selepas satu prosedur khas IVF, kata pengawal selia kesuburan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut laporan, Pihak Berkuasa Persenyawaan dan Embriologi Manusia (HFEA) mengesahkan "kurang daripada lima" bayi telah dilahirkan di UK selepas rawatan pendermaan mitokondria (MDT) setakat 20 April tahun ini.

HFEA tidak memberikan butiran lanjut untuk mengelakkan keluarga daripada dikenal pasti, lapor The Guardian selepas menerima maklumat daripada permintaan kebebasan maklumat.

Matlamat rawatan adalah untuk mengelakkan wanita menyebarkan gen yang rosak dalam mitokondria dan menghalang kanak-kanak mewarisi keadaan itu.

Teknik itu melibatkan pemberian bayi IVF kepada seorang wanita dengan DNA daripada tiga individu.

Bayi itu akan mempunyai DNA nuklear daripada ibu dan bapanya, yang menentukan ciri-ciri utama seperti personaliti dan warna mata.

Selain itu, bayi berkenaan juga akan mempunyai sejumlah kecil DNA mitokondria daripada penderma wanita iaitu individu ketiga.

Britain menjadi negara pertama di dunia yang membenarkan terapi penggantian mitokondria secara rasmi apabila HFEA memberi kebenaran berhubung prosedur itu pada 2017.

Pada 2015, Ahli Parlimen dan rakan sejawat memberi laluan kepada perubahan dengan mengundi untuk mengubah Akta Persenyawaan dan Embriologi Manusia, yang menetapkan rang undang-undang untuk penyelidikan dan rawatan kesuburan. - Bernama