Tambah baik pengawalan import konsainan pertanian

Ahmad Hamzah
Ahmad Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memastikan konsainan pertanian diimport bebas ancaman perosak, penyakit, bahan cemar, berkualiti dan selamat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, antaranya ialah syarat-syarat pengimportan bagi sesuatu tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal akan ditentukan berdasarkan Pest Risk Analysis (PRA).

Menurutnya, ia juga dinilai secara lebih terperinci bagi memastikan tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal diimport adalah bebas penyakit dan perosak tanaman selaras dengan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

"Syarat-syarat pengimportan yang telah dipatuhi kemudiannya akan ditentusahkan oleh Manual Kualiti Jabatan Pertanian (DOA) yang bertindak sebagai Pihak Berkuasa Perlindungan Tanaman (National Plant Protection Organization, NPPO) di bawah Food and Agriculture Organisation (FAO) dan akan dinyatakan di dalam Permit Import yang dikeluarkan oleh Agensi Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum disusuli dengan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negara.

"Selain itu, pendigitalan pemeriksaan melalui penggunaan sistem Agensi Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan i-Maqis untuk laporan pemeriksaan konsainan di pintu masuk juga dijalankan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzim (PH-Bayan Baru) mengenai tindakan kementerian itu terhadap teguran Laporan Audit Negara Tahun 2018 siri 3 Pengurusan Aktiviti Kawalan Import Konsainan Pertanian yang menunjukkan kelemahan memastikan konsainan pertanian import bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar, berkualiti dan selamat.

Mengulas lanjut, katanya, pengaplikasian sistem itu telah berjaya meningkatkan integriti pemeriksaan di samping memendekkan tempoh berurusan di kaunter.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut memperkukuhkan elemen penguatkuasaan di pintu masuk secara bersepadu dengan semua jabatan dan agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Maqis diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan langkah-langkah kawalan dan pemeriksaaan konsainan import pertanian di semua pintu masuk utama negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, usaha disokong melalui kepakaran jabatan dan agensi teknikal bertanggungjawab iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.

"Sehingga bulan Oktober 2020, bilangan kes yang ditahan melakukan kesalahan adalah sebanyak 1,105 kes dengan nilai dagangan RM134 juta.

"Sebanyak 913 kes telah dikompaun dengan nilai kutipan kompaun sebanyak RM3 juta yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang di antaranya ialah Tiada Import Permit (Seksyen 11(1), Tiada Eksport Permit (Seksyen 11(2) dan Pengisytiharaan Palsu, Tidak Tepat atau Mengelirukan (Seksyen 13), Tidak Patuh Syarat Import/Eksport Permit (Seksyen 15) dan Tiada Kelulusan Transit (Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia [Kuarantin dan Pemeriksaan] 2013 (P.U (A) 116))," katanya.

Sementara itu, katanya, pegawai Maqis turut dilibatkan dalam aktiviti naziran silang rasmi antara jabatan bagi menyemak dan menjajarkan prosedur kerja yang terpakai di antara agensi untuk mengelakkan kecelaruan pelaksanaan prosedur di lapangan.

Menurutnya, taklimat dan latihan lapangan turut disampaikan kepada pegawai Maqis bagi pengenalan spesies ikan terancam daripada kepupusan, sistem kawalan bagi pergerakan ikan hidup masuk, vektor penyakit ikan dan prosedur kelulusan premis kuarantin ikan hidup.

Selain itu, katanya, ia termasuk mengenai pendaftaran premis kuarantin dan penyenaraian ikan, haiwan atau produk daging serta tumbuhan yang dibenarkan dibawa masuk di dalam sistem ePermit Dagang.net.

"Hanya pengimport yang mempunyai kelulusan premis kuarantin sahaja yang boleh berdaftar di bawah sistem ini dan dibenarkan mengimport.

"Maqis hanya boleh meluluskan permohonan permit import kepada syarikat yang tersenarai di dalam sistem ePermit ini," katanya.