MCMC tambah baik rangkaian komunikasi, internet Bukit Badong

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah baik rangkaian komunikasi yang lemah termasuk internet di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, tindakan segera pihak syarikat telekomunikasi (telco) telah mengoptimumkan rangkaian perkhidmatan dengan kadar segera di kawasan terbabit.

“Hasil daripada tindakan telco dan pengukuran yang telah dijalankan di beberapa lokasi mendapati kualiti perkhidmatan secara keseluruhannya telah bertambah baik iaitu daripada kelajuan di bawah 2.5Mbps kepada 40Mbps secara purata.

“Namun terdapat beberapa kawasan yang memerlukan penambahbaikan dan kami telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk menyediakan perancangan jangka panjang dalam masa terdekat bagi menambah baik kualiti perkhidmatan kepada penduduk di Kampung Bukit Badong ini,” katanya pada Jumaat.

Pada 30 Julai lalu, MCMC telah menjalankan lawatan tapak pada 1 Ogos tahun ini bersama dengan wakil penyedia perkhidmatan (telco) iaitu Celcom, Digi, Maxis dan UMobile.

Ia susulan aduan berkaitan kualiti liputan komunikasi lemah yang diterima semasa program inisiatif Ziarah Kasih oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di kampung tersebut.

Dalam pada itu, menurut MCMC, pihaknya akan melaksanakan rancangan jangka masa panjang bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi dengan baik.

“Pihak kami akan terus memantau pelaksanaan perancangan jangka panjang agar isu liputan komunikasi ini dapat diselesaikan,”ujarnya.