Risiko sebar penyakit, bakteria

Haiwan ternakan yang telah dijangkiti bakteria di negara asal boleh tersebar ke negera pengimport dalam bentuk daging sejuk beku.
Haiwan ternakan yang telah dijangkiti bakteria di negara asal boleh tersebar ke negera pengimport dalam bentuk daging sejuk beku.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] HAIWAN ternakan yang dijangkiti penyakit atau bakteria berisiko tinggi menyebabkan keracunan makanan dan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

Presiden Persatuan-Persatuan Veterinar Asia, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pemeriksaan yang ketat perlu dilakukan bagi memastikan daging yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada sebarang penyakit.

Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam
Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

Jelas beliau, antara bakteria yang berbahaya itu ialah Campylobacter spp, Salmonella spp, Escherichia coli, Listeria monocytogenes, Yersinia enterocolitica, Staphylococcus, Acrobacter, Clostridium, Mycobacterium dan Bacillus cereus.

“Kadangkala daging itu juga boleh dicemari dengan parasit seperti Taenia dan daripada protozoa seperti Trichinella, Sarcocytis, Toxoplasma gondii dan Cryptosporidium parvum.

“Kesemua mikroorganisma ini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan toksin yang menyebabkan penyakit atau kematian.

“Justeru, jika pemeriksaan veterinar tidak dilaksanakan dan tidak dipantau, maka daging tersebut boleh tercemar dengan mikroorganisma,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Artikel Berkaitan:

Dr Quaza Nizamuddin Hassan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar berkata, laporan daripada EFSA-ECDC pada tahun 2016 menunjukkan terdapat 1.5 bilion kes cirit-birit dilaporkan pada kanak-kanak umur kurang daripada tiga tahun.

“Sebahagian besar kes ini disebabkan oleh mikroorganisma Enteropathogenic dan ia menyebabkan lebih daripada tiga juta kematian setahun,” katanya.

Jelas beliau, kewujudan bakteria itu sebenarnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan menyebabkan daging tersebut rosak apabila terdedah terlalu lama pada suhu bilik dan tidak disimpan di dalam peti sejuk.

“Kalau kita keluarkan dan biarkan di luar terlalu lama, memang bakteria akan cepat membiak dan bakteria juga tak semestinya datang daripada daging haiwan sahaja, tetapi bila diletakkan dalam suhu yang biasa pun boleh jadi masalah.

“Seeloknya kita simpan daging ini dalam keadaan sejuk. Maksimum suhu untuk simpan daging dalam waktu yang singkat ialah satu hingga empat darjah Celsius,” katanya.

Ketika ditanya mengenai aktiviti penyeludupan daging sejuk beku secara haram, beliau berkata, pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam usaha memperketatkan lagi prosedur yang sedia ada.

“Daging yang diimport dari empat negara yang dikaitkan dengan isu ini tidak dapat dipastikan sama ada dicemari dengan bakteria kecuali sampel daging telah diuji di makmal.

“Isunya di sini ialah pihak yang tak bertanggungjawab dalam aktiviti penyeludupan telah melanggar undang-undang negara dan wajar dikenakan tindakan.

“Justeru, agensi yang terlibat perlulah mengambil tindakan dengan lebih tegas agar perkara tersebut tidak akan berlaku lagi pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Quaza Nizamuddin Hassan berkata, orang ramai tidak perlu khuatir akan keselamatan dan kualiti daging yang diimport oleh Malaysia kerana ia dijamin selamat dan bersih.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal

Maqis tubuh pasukan khas siasat penyeludupan daging sejuk beku