X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis tubuh pasukan khas siasat penyeludupan daging sejuk beku

Laporan khas Sinar Harian pada Isnin lalu berkenaan kemasukan daging lembu sejuk beku secara tidak sah ke dalam negara. Gambar kecil: Saiful Yazan Alwi
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan kemasukan daging lembu sejuk beku secara tidak sah ke dalam negara.

Ketua Pengarahnya, Saiful Yazan Alwi berkata, perincian pasukan berkenaan tidak boleh didedahkan bagi mengelak ia mengganggu siasatan.

“Ya, kita sudah tubuh pasukan siasatan, kita jalankan kerja dulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau turut memaklumkan, wakil Maqis telah bertemu dengan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan isu penyeludupan daging sejuk beku dari negara yang tidak mendapat status halal dan pengesahan kesihatan.

"Pegawai saya telah berjumpa dengan PPIM dan mereka telah menyalurkan info berkaitan dakwaan berkenaan. PPIM juga memberikan kerjasama baik kepada kami.

"Melalui maklumat yang kita peroleh, kita akan siasat lebih dalam sejauh mana dakwaan tersebut dan dalam masa terdekat, kita akan ketahui dengan lebih jelas," katanya.

Mengulas berkenaan sama ada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat pegawai atau anggotanya, Saiful berkata, beliau belum dimaklumkan tentang perkara itu.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa isu penyeludupan daging terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kejayaan rampasan tiga buah kontena berisi muatan daging kerbau sejuk beku bernilai lebih RM1 juta di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang Selasa lalu.

"Kes di Pulau Pinang itu tidak ada kaitan dengan isu penyeludupan. Rampasan itu dibuat kerana isu teknikal pengimport yang gagal mematuhi syarat sijil yang ditetapkan," katanya.

Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.

Menurut sumber, kebanyakan daging sejuk beku yang tidak mendapat pengiktirafan halal itu diimport dari benua Amerika melalui pelabuhan utama negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!