X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Sabah pastikan projek Jendela berjalan lancar

Hajiji mendengar taklimat Pengerusi SKMM, Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek menerusi sidang video mengenai program Jendela di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) di Kota Kinabalu hari ini.
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan memastikan projek pembangunan di bawah Jaringan Digital Nasional (Jendela) yang dilaksanakan di negeri ini berjalan dengan lancar sebagai usaha untuk memperluaskan liputan 4G, sekali gus meningkatkan kelajuan internet di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ketika ini liputan telekomunikasi digital di Sabah masih ketinggalan apabila masih banyak tempat belum menerima rangkaian internet.

"Sebahagian penduduk (di Pitas) terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet dan ada juga kes di Kampung Gusi, Ranau yang mana beberapa pelajar cedera apabila jambatan gantung terputus ketika mereka berkumpul untuk mendapatkan liputan internet.

"Oleh itu, Jendela adalah inisiatif yang sangat baik oleh kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana Sabah amat memerlukan liputan telekomunikasi yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat oleh Pengerusi SKMM, Dr Fadhullah Suhaimi Abdul Malek menerusi sidang video mengenai program Jendela di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) di sini hari ini.

Hajiji turut dimaklumkan bahawa Jendela akan dilaksanakan menerusi dua fasa yang membabitkan pembinaan 41 menara telekomunikasi baharu, menaik taraf 924 stesen pangkalan yang ada menerusi program Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) kepada 4G.

Sementara sebanyak 35 menara baharu dan 1,048 stesen pangkalan di menara sedia ada juga akan ditingkatkan secara komersial oleh penyedia perkhidmatan untuk meningkatkan liputan 4G di negeri ini.

Sebanyak 190,115 premis di negeri ini juga akan diberi akses ke gentian optik.

Menurut Fadhullah, projek itu dianggarkan menelan kos kira-kira RM2.5 bilion di Sabah.

Sehubungan itu, Hajiji meminta SKMM berhubung terus dengan pejabatnya sekiranya mereka menghadapi masalah yang mengganggu proses pelaksanaan program itu.

"Kami akan mengambil tindakan sewajarnya kerana tidak mahu pelaksanaan program ini terhalang," katanya.

Terdahulu, program Jendela yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada 29 Ogos lalu, adalah rancangan pembangunan infrastruktur digital selama lima tahun yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Program ini bertujuan memenuhi keperluan penyambungan digital dan mempersiapkan negara untuk peralihan secara berperingkat ke teknologi 5G.

Sidang video itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dan Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Izani Othman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!