KWSP umum dua kategori ahli layak mohon i-Sinar

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. - Foto fail Bernama
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dua kategori membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon skim i-Sinar.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kategori 1 melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Menurut kenyataan itu, pemohon kategori berkenaan boleh mula membuat permohonan secara dalam talian pada 21 Disember ini dengan pembayaran kepada ahli yang layak akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

“Kriteria bagi Kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

“Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP,” kata kenyataan tersebut.

Kata KWSP, bagi Kategori 2 pula, pemohon boleh membuat permohonan bermula pada 11 Januari 2021.

“Kategori ini adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

“Ia termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan.

“Notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

“Jika dokumen tersebut tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Katanya, pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya selepas kelulusan diberi.

“Jumlah kelayakan i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan akaun satu ahli berdasarkan butiran terkini seperti berikut:

- Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

- Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam akaun satu boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada akaun satu.

"Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000," katanya.

Jelas KWSP lagi, bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif.