Yadim mula operasi di Pahang

Hazmi (duduk, tengah) bersama pasukan sukarelawan Yadim Pahang.
Hazmi (duduk, tengah) bersama pasukan sukarelawan Yadim Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memulakan operasi pertama di Pahang pada 2 November lalu bagi menjalankan kerja-kerja dakwah, pendidikan termasuk kebajikan di negeri ini.

Pengarah Yadim Pahang, Hazmi Dibok berkata, walaupun baharu beroperasi dalam tempoh sebulan, pihaknya telah berjaya menubuhkan 14 pasukan sukarelawan di setiap Parlimen negeri ini.

"Pihaknya melantik 10 ahli sukarelawan Yadim di setiap Parlimen bagi membantu perkembangan agama Islam termasuk melaksanakan kerja-kerja pendidikan, sosial dan kebajikan dalam kalangan orang-orang Islam.

"Selain itu, kami juga melaksanakan lima program sepanjang November lalu dan dijangkakan 10 program lagi akan dijalankan pada bulan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazmi berkata, bagi merancakkan usaha dakwah dan kebajikan Islam di negeri ini, pihaknya di bawah Sekretariat Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, agensi-agensi dan institusi Islam yang ada di negeri ini.

"Antara NGO yang sudah dihubungi seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Majlis Kebajikan India Muslim Pahang (MKIMP), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pahang dan beberapa lagi NGO Islam lain yang aktif di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Hazmi berkata, satu majlis pelancaran sempena Bulan Dakwah 2020 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, program itu akan melibatkan wakil bagi setiap NGO dan Pasukan Sukarelawan Yadim kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga berharap agar majlis pelancarannya dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya.