X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Pembelajaran online boleh beri kesan kesihatan mental

Mimi Fitriana
A
A
SHAH ALAM - Pendidikan atau pembelajaran melalui skrin komputer yang terlalu lama akan memberi kesan terhadap kesihatan mental, fizikal, emosi dan juga sosial.

Pakar Psikologi Klinikal International University of Malaya-Wales, Dr Mimi Fitriana Zain berkata, apabila seseorang itu khususnya pelajar tidak dapat menyeimbangkan penggunaan komputer, maka ia tidak akan dapat membantu mereka melihat fenomena pembelajaran itu sebagai sesuatu yang positif.

Menurutnya, apabila berbicara tentang impak kepada psikologi pelajar itu sendiri pula, akan wujud masalah-masalah kognitif terutama dari segi pengambilan keputusan.

Katanya, jika seseorang terlampau banyak berdepan dengan skrin komputer, maka ia boleh merosakkan keadaan mata secara fizikal dan kemudiannya secara emosi.

“Ada kajian yang mengatakan ia ada kaitan dengan ‘screen exposure’ yang mana apabila kita didedahkan dengan skrin selama empat atau lima jam, ia secara tidak langsung akan menyebabkan kita sukar untuk tidur dan kemudian mengalami gangguan emosi.

“Justeru, kita perlu berhati-hati dan sebagai ibu bapa, kita sepatutnya menjaga interaksi anak-anak dengan memberikan nasihat dan peringatan sekerap mungkin, selain menjadi moderator untuk memantau anak-anak.

"Jika ia tidak dikawal pada peringkat awal iaitu dari sekolah rendah, maka berkemungkinan anak kita sukar untuk mengawal emosi di peringkat menengah kerana emosi mereka pada waktu ini mungkin akan lebih terganggu,” katanya pada Wacana al-Quran Siri 32 bertajuk Impak Kesihatan Pembelajaran Online yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Wacana tersebut turut menampilkan Pengarah Akademi Keluarga Fitrah dan Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki sebagai panelis; Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan qari jemputan, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur yang memperdengarkan bacaan surah al-An'am (ayat 141) dan surah Yunus (ayat 57).

Dalam pada itu, Mimi Fitriana berkata, pembelajaran dalam talian merupakan satu interaksi yang sangat bermanfaat di mana guru ataupun pensyarah boleh melakukan pelbagai aktiviti yang boleh mengelakkan pelajar mereka stres ataupun kemurungan.

“Macam saya sendiri, kadang-kala saya akan menyuruh pelajar ini berdiri dan ambil masa satu atau dua minit sahaja untuk melakukan aktiviti senaman bersama-sama di depan skrin agar emosi mereka lebih seimbang dengan kapasiti intelektual serta kemampuan berfikir," katanya.

Selain itu katanya, ibu bapa dan guru juga perlulah memberikan penjelasan kepada anak-anak terutama tentang cara berkomunikasi itu sendiri.

Menurutnya, selaku orang yang lebih dewasa, ibu bapa merupakan individu paling layak mendekati anak-anak melalui kaedah komunikasi, contohnya apabila anak terlalu penat belajar, minta mereka berehat sebentar dan ia sekali gus dapat mengurangkan stres mereka.

"Terdapat banyak lagi strategi yang boleh digunakan oleh para pendidik untuk mengelakkan pelajar mereka stres dalam pembelajaran antaranya seperti menghasilkan permainan yang lebih kreatif dan menarik.

“Kedua ialah kaedah pemahaman iaitu ‘internal capasity’ dan juga ‘external capasity’. 'Internal' ini merujuk kepada ahli keluarga seperti ibu bapa manakala 'external' pula merujuk kepada guru ataupun pensyarah,” katanya.

Justeru katanya, dengan menghasilkan strategi sedemikian, ia secara tidak langsung akan melatih kognitif mereka di samping perkembangan jiwa dan otak pelajar itu sendiri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!