Bawang merah kualiti rendah tetapi mahal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kenaikan harga bawang merah di pasaran yang dilaporkan meningkat secara drastik.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pemantauan itu bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan atau kenaikan harga secara berlebihan selepas India mengenakan pengharaman eksport disebabkan bencana banjir monsun di negara itu.

Beliau berkata, CAP telah melakukan tinjauan di pasar sekitar Pulau Pinang bulan lepas dan mendapati harga bawang merah import dari China, Holland dan Pakistan meningkat daripada RM4 kepada RM7.50 sekilogram dan kini harga komoditi tersebut telah meningkat kepada RM10.50 sekilogram.

"KPDNHEP seharusnya menjalankan siasatan segera terhadap kenaikan harga bawang yang terlalu tinggi, sama ada peningkatan itu wajar serta memeriksa kualiti bawang tersebut.

“Pihak kementerian juga tidak seharusnya teragak-agak untuk melaksanakan skim kawalan harga seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya keadaan mendesak," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aduan biasa yang diterima oleh CAP ialah bawang merah berkualiti rendah tetapi harganya mahal manakala peruncit mendakwa masalah bermula apabila bekalan dari India terhenti.

Sementara itu, CAP menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya memeriksa pengimportan bawang di samping memastikan bekalan bawang merah terus berada dalam pasaran selain perlu menggalakkan petani tempatan dan masyarakat mengusahakan tanaman bawang. - Bernama

Artikel Berkaitan: