20 pegawai imigresen positif Covid-19

Petugas Jabatan Imigresen berhadapan risiko terdedah kepada Covid-19 kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka. Gambar hiasan.
Petugas Jabatan Imigresen berhadapan risiko terdedah kepada Covid-19 kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 3,000 pegawai imigresen dikuarantin termasuk 20 didapati positif Covid-19 selepas hampir 3,500 kakitangan menjalani ujian saringan sehingga 25 November lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sebagai sebahagian daripada pasukan barisan hadapan, petugas Jabatan Imigresen berhadapan risiko terdedah kepada virus itu kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang tanpa izin yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka.

"Bagaimanapun, kita tetap komited melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), menyaksikan sebanyak 1,332 kes positif import sehingga 30 November lalu.

"Bukan sahaja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus Covid-19 tetapi turut terlibat secara langsung dalam tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Imigresen 2020, hari ini.

Menurutnya, penglibatan imigresen dapat dilihat di kawasan tumpuan warga asing, pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dan operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sejak Januari hingga 30 November lalu, imigresen melaksanakan sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan 93,475 individu serta penahanan 34,920 pendatang tanpa izin dan 376 majikan," katanya.

Bersempena sambutan Hari Imigresen itu, beliau turut melancarkan Pelan Anti-Rasuah Jabatan Imigresen 2020-2024 yang memberi fokus kepada tadbir urus lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa undang-undang.

"Pelan ini digubal untuk memberikan fokus kepada dasar integriti dan tadbir urus yang lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi mendukung inisiatif pendigitalan perkhidmatan kerajaan dan penerapan norma baharu, Khairul Dzaimee berkata, JIM membangunkan Sistem Temujanji Online (STO), Sistem MYEntry, Sistem Pertanyaan Online (SPO) dan Sistem MyTravelPass (MTP).

"Jabatan Imigresen sentiasa mengikut arus perkembangan teknologi supaya kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan dan kos operasi dikurangkan. Urusan yang dijalankan selama ini di kaunter dikurangkan secara berperingkat dan dijalankan secara dalam talian dan digital," katanya. - Bernama