X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Tiada operasi ditutup di HUSM

Dr Ahmad Sukari Halim. Gambar kecil: Notis penjelasan daripada HUSM berkaitan dakwaan terdapat operasi di hospital berkenaan ditutup.
A
A

KOTA BHARU - Pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memaklumkan tiada perkhidmatan ditutup seperti ditularkan di media sosial yang dikaitkan dengan penularan Covid-19 di hospital tersebut.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, bilangan pesakit termasuk perkhidmatan dewan bedah serta bilik bersalin dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk memberi masa kepada warga kerja, pesakit dan semua yang berisiko disaring terlebih dahulu.

Menurutnya, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja serta pelanggan termasuk pesakit adalah menjadi keutamaan dan HUSM telah mengambil tindakan segera mengawal jangkitan serta pada masa sama berusaha memastikan perkhidmatan rawatan tidak terjejas.

“Pengurusan HUSM merujuk kepada pengumuman Kluster Hilir iaitu kluster baharu Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 29 November 2020 yang turut melibatkan kes-kes positif di HUSM.

“Sebagai makluman, tiada sebarang perkhidmatan di HUSM yang ditutup. Pengurangan pesakit pada November adalah rutin setiap tahun kerana Peperiksaan Sarjana Perubatan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan berdasarkan jadual akademik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Sukari juga Pengarah Kampus Kesihatan berkata, pengurangan pesakit juga diputuskan setelah mengambil kira situasi semasa Covid-19 termasuk kluster-kluster di sekitar negeri Kelantan yang menunjukkan peningkatan.

“Hasil tindakan pengawasan yang efektif sejak tiga hari lalu, sehingga jam 6 petang 30 November lepas tiada lagi kes-kes positif Covid-19 baharu dikesan di HUSM.

“HUSM kini beroperasi seperti biasa bermula semalam dengan semua perkhidmatan rawatan berjalan seperti sedia ada,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, sebagai langkah kawalan seterusnya, HUSM proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara kerap dan menggiatkan kempen amalan norma baharu kepada warga kerja serta pelanggan.

“Pengurusan Hospital USM komited dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard berdasarkan arahan serta garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah mengarahkan warga kerja menjalani saringan, kuarantin serta isolasi apabila ada keperluan.

“Dalam menguruskan situasi berkaitan dengan jangkitan Covid-19, pengurusan HUSM sentiasa berhubung serta bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan KKM,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!