Kilang degil diarah henti operasi

Mesin angkat disita JKKP selepas didapati beroperasi tanpa sijil perakuan kelayakan.
Mesin angkat disita JKKP selepas didapati beroperasi tanpa sijil perakuan kelayakan.
A
A
A

IPOH - Sebuah kilang melebur logam diarah menghentikan operasi selepas didapati tidak serik melanggar notis larangan serta melakukan pencemaran udara di Kawasan Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang di sini semalam.

Tindakan itu dilakukan selepas tularnya rakaman video pembakaran besar-besaran untuk meleburkan logam dalam tempoh larangan di laman sosial kelmarin.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang serta melakukan pencemaran.

“Tindakan sitaan diambil oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melibatkan mesin angkat jenis table lifter yang tiada sijil perakuan kelayakan untuk beroperasi.

“Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) telah mengeluarkan notis penutupan operasi sehingga tarikh yang akan ditetapkan setelah berpuas hati dengan tindakan pemulihan yang diambil oleh pihak kilang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas melawat kilang tersebut di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JAS, Rosli Zul; Pengarah JKKP, Ir Zamzurin Maarof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng.

Dari kanan; Sandrea Ng, Ahmad Saidi, Zamzurin dan Rosli melawat kilang yang didapati melanggar notis dan melakukan pencemaran udara.
Dari kanan; Sandrea Ng, Ahmad Saidi, Zamzurin dan Rosli melawat kilang yang didapati melanggar notis dan melakukan pencemaran udara.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu pihak kilang tidak boleh beroperasi dan tidak boleh membuat apa-apa aktiviti kebakaran dan meleburkan logam.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan lanjut mendapati kilang yang beroperasi sejak Jun lalu itu telah diperiksa sebanyak empat kali dan pernah disita, namun pihak kilang membuat permohonan untuk lakukan ‘try run’ bagi mengenal pasti kelemahan sistem dan untuk penambahbaikan.

“Pihak JKKP juga telah keluarkan notis larangan pada awal September lalu. Setelah tularnya video itu, pihak kilang telah melanggar notis dan keperluan ‘try run’ tanpa pengawasan,” katanya.

Sementara itu, Zamzurin berkata, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Video operasi kilang tersebut tular di laman sosial.
Video operasi kilang tersebut tular di laman sosial.

“JKKP pernah mengeluarkan notis larangan supaya diwujudkan operasi kerja selamat, penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

“Semua elemen itu tiada sedangkan aktiviti peleburan adalah berbahaya kepada pekerja. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan,” katanya.