X

Kindly register in order to view this article
!

Jadilah seperti Hafiz Hiew

A
A

KETIKA beliau susah dan tidak punya apa-apa sehinggalah berjaya sekarang, sifat suka bersedekah beliau tidak pernah berkurangan, malah sedekahnya semakin banyak.”

Benarkah sedekah mampu membantu kita menjadi lebih kaya? Bagaimana jadi lebih kaya jika duit banyak ke-luar? Jika difikir dengan logik semata, memang tidak boleh diterima. Bagaimana bersedekah mampu menjadikan seseorang lebih kaya?

Bersedekah tidak akan mengurangkan harta, bahkan ia akan semakin bertambah dan terus bertambah. Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan ALLAH tambahkan kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim).

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka serta mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah, ayat 274).

Apabila seseorang memberi sedikit atau sebahagian daripada hartanya, maka sebenarnya dia memberi harta ALLAH dan apabila dia meminjamkan sesuatu kepada seseorang, maka sebenarnya ia juga adalah pinjaman daripada ALLAH, dan ALLAH jugalah yang akan membalasnya dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Orang yang menerima itu hanya jalan pilihan baginya untuk menerima ganjaran yang berlipat ganda yang telah ALLAH janjikan.

Kita perlu letakkan sepenuh keyakinan pada kalimat akan bertambah rezeki kepada sedekah yang diberikan. Itulah yang telah dilakukan oleh sahabat saya, saudara Hafiz Hiew sejak lebih lima tahun lalu. Ketika beliau susah dan tidak punya apa-apa sehinggalah berjaya sekarang, sifat suka bersedekah beliau tidak pernah berkurangan, malah sedekahnya semakin banyak.

Cina mualaf itu bukan sahaja tidak menagih wang zakat, malah telah membayar zakat perniagaan syarikatnya sebanyak RM450,000 pada tahun ini kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melalui Macma Kelantan yang merupakan amil zakat yang dilantik oleh Maik.

Siapa sangka, ketika banyak perniagaan menanggung kerugian sehingga ada yang gulung tikar akibat pandemik Covid-19, syarikat TDC Holdings Sdn Bhd terus meraih keuntungan melalui jualan susu kolostrum C2Joy dan Safe & Joy. Satu-satunya masalah beliau adalah permintaan yang sangat tinggi sehingga stok tidak cukup. Itulah salah satu berkat beliau bersedekah dan berwakaf ketika susah.

Pada tahun ini sahaja, Hafiz Hiew telah memberikan sumbangan hampir RM5 juta kepada pelbagai pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada pertengahan Mac 2020. Kepada Mercy Malaysia sahaja, sudah RM2 juta disumbangkan.

Apakah beliau tidak takut kekayaan-nya berkurang? Walaupun kesenangannya tidaklah sehingga cukup makan tujuh keturunan tetapi itu tidak menghalangnya untuk terus memberikan sumbangan selagi mampu.

Bila ditanya kenapa sangat suka bersedekah walaupun ketika dalam kesempitan, beliau mengatakan bahawa sedekah merupakan money changer baginya di akhirat kelak.

Bagi Hafiz Hiew, beliau tidak boleh berehat selagi tiada jumlah wang yang mantap dalam akaun bank untuk membolehkannya bersedekah setiap hari. Beliau tiada pilihan melainkan usaha tanpa henti, bekerja tanpa tapi dan jalan terus tanpa berhenti. Beliau wajib kaya sebab pilihan satu lagi adalah miskin. Baginya, beliau tiada pilihan melainkan memastikan dirinya berjaya di dunia dan akhirat.

Kita semua macam mana?

Jadilah seperti Hafiz Hiew.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!