PN adalah idea asal Tun M: Mohamed Azmin

Mohamed Azmin mendedahkan pembentukan Perikatan Nasional (PN) merupakan idea asal daripada Dr Mahathir.
Mohamed Azmin mendedahkan pembentukan Perikatan Nasional (PN) merupakan idea asal daripada Dr Mahathir.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan Perikatan Nasional (PN) merupakan idea asal daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, proses pembentukan tersebut bermula pada 23 Februari 2020 apabila sebanyak 133 pernyataan berkanun (SD) oleh ahli Parlimen daripada semua pihak telah berjaya dikumpul dan disampaikan kepada pihak istana.

"Itu semua untuk satu nama sebagai Perdana Menteri. Kami kemudian berusaha sangat keras untuk memastikan bahawa Dr Mahathir akan terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

"Itu adalah pertemuan yang kami lakukan di rumahnya pada 23 Februari jam 4 petang ketika pertemuan dengan keenam-enam pemimpin parti politik termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Abang Johari dan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi temu ramah eksklusif bersama The Star.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai detik-detik bermulanya krisis pertukaran kerajaan yang berlaku pada bulan akhir Februari itu, Azmin berkata, segala perancangan yang telah ditetapkan menjadi huru-hara setelah Dr Mahathir meletakkan jawatan keesokan paginya.

Beliau berkata, isu mengenai kerjasama bersama UMNO yang ditimbulkan Dr Mahathir sebelum ini bukan persoalan yang berbangkit memandangkan bekas Perdana Menteri itu telah merancang Kongres Melayu bersama UMNO dan Pas pada Oktober tahun lepas.

"Kami telah dijerumuskan ke dalam krisis politik apabila Dr Mahathir mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) tidak bertindak pada tempoh waktu tersebut, orang lain boleh bergegas ke istana dan menekan istana untuk menjadi Perdana Menteri. Saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

"Satu-satunya pilihan untuk saya dan Muhyiddin ketika itu adalah meninggalkan Pakatan," katanya.

Mengulas lanjut, Azmin memaklumkan bahawa kesemua pemimpin parti itu kemudian kembali menemui Dr Mahathir pada 24 Februari untuk bertanyakan berkenaan dengan tindakan tersebut.

“Kami berbincang sebelum kembali ke istana. Selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Sekali lagi, dalam tempoh itu, dari 24 hingga 28 Februari kami bekerja siang dan malam untuk mendapatkan jumlahnya.

"Sayangnya, beliau tidak mendapat angka yang kuat dan hebat sehingga hari Jumaat,” katanya.

Azmin yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak berkata, Dr Mahathir akan tetap kekal menjadi Perdana Menteri dengan majoriti yang besar sekiranya Ahli Parlimen Langkawi itu tidak mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada waktu itu.

“Saya memberitahu Dr Mahathir bahawa dalam sistem demokrasi mana pun, anda memerlukan nombornya. Sekiranya anda pergi ke pilihan raya, anda memerlukan nombor. Anda pergi ke Parlimen, anda memerlukan nombor. Anda pergi ke istana, anda memerlukan nombor.

"Sekiranya beliau tidak mempunyai nombor, tidak banyak yang dapat kami lakukan. Oleh kerana tidak ada Parlimen yang bersidang ketika itu, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Raja harus memutuskan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

"Akhirnya, Muhyiddin mendapat majoriti itu. Tentunya, kami masuk sebagai pemerintah baru, bukan melalui pilihan raya tetapi melalui krisis politik. Krisis itu berlaku kerana pengunduran Dr Mahathir,” katanya.

Berkenaan dengan tuduhan yang menyatakan kerajaan PN sebagai sebuah kerajaan yang ditubuhkan melalui pintu belakang, Azmin menafikan perkara tersebut.

“Perikatan bukan kerajaan pintu belakang kerana ada kekosongan (dalam jawatan Perdana Menteri).

“Saya tidak akan mencadangkan pembentukan tersebut pada ketika itu sekiranya peletakan jawatan oleh Dr Mahathir tidak berlaku,” katanya.