Dakwaan inisiatif kerajaan idea asal PN: Rafizi jawab malam ini

Tangkap layar ciapan Rafizi di Twitter pada Rabu. Rafizi (kiri).
Tangkap layar ciapan Rafizi di Twitter pada Rabu. Rafizi (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan tampil memberi jawapan berhubung isu beberapa inisiatif kerajaan termasuk Insentif Pendapatan Rakyat (IPR) yang didakwa merupakan idea asal pimpinan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

Rafizi berkata, perkara itu akan dijelaskan olehnya sendiri menerusi platform media sosial pada malam ini di ‘Suka Menanti’.

Ujar beliau, dakwaan yang dilakukan oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sebuah program itu disifatkan sebagai 'kerja gila'.

“Insya-ALLAH saya akan jawab dalam ceramah malam ini (Rabu) di Suka Menanti. Nantikan di Facebook, Twitter, Youtube atau Tiktok jam 10.50 malam.

“Kerja gila Radzi Jidin nak ambik kredit. Mudah jadi PN semua ‘kami dah rancang tapi tak sempat buat’,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Rabu.

Sebelum ini, sebuah video tular melibatkan ucapan Radzi dalam sebuah program mendakwa, bahawa beberapa inisiatif kerajaan termasuk projek menangani kemiskinan tegar yang kini dinamakan sebagai IPR itu telah dilaksanakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika dibawah pimpinan kerajaan PN.

Selain itu, Radzi mendakwa pimpinan PN juga telah menyediakan pangkalan data bagi penerima bantuan kerajaan yang kini diterajui oleh Kerajaan Perpaduan.