X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga daerah di Terengganu masih dilanda banjir

Keadaan kediaman penduduk yang mula dinaiki air di Kg Teladas, Air Putih, Kemaman.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga daerah di Terengganu masih dilanda banjir melibatkan Kemaman, Dungun dan Marang dengan jumlah keseluruhan mangsa dipindahkan ke 12 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan seramai 1,041 orang daripada 269 keluarga.

Sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak lapan PPS masih dibuka di Kemaman iaitu Dewan Serbaguna Kampung Air Putih, Surau Haji Othman, Dewan Sivik Felda Seberang Tayor, Masjid Kg Batu 16, Dewan Orang Ramai Batu 14, Masjid Batu 14, Pusat Pemindahan Pasir Gajah dan Surau Kg Banho.

Dungun pula sebanyak tiga PPS dibuka iaitu Dewan Serbaguna Pasir Raja, Dewan Serbaguna Shukor dan Dewan Serbaguna Kg Minda manakala sebuah PPS dibuka di Marang iaitu di SMK Merchang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir hari ini berlaku penurunan ketara berbanding lewat malam tadi.

Che Adam
Che Adam

"Pagi ini jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan berbanding 1,500 mangsa direkodkan lewat malam tadi.

"Sehingga kini daerah Kemaman merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 897 mangsa daripada 229 keluarga diikuti Dungun (130) dan Marang (14)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penurunan jumlah penduduk dipindahkan berdasarkan faktor cuaca yang semakin baik hari ini.

"Lewat petang semalam hingga pagi ini tiada hujan dalam tempoh 12 jam menyebabkan paras sungai di daerah Kemaman berlaku penurunan terutama di Sungai Tebak, Sungai Air Putih dan Sungai Kemaman.

"Keadaan air dalam tempoh 24 jam lalu juga mengalir dengan baik di kawasan hilir menyebabkan tidak berlaku kenaikan air secara drastik. Jadi, sebahagian penduduk di kawasan berkenaan tidak perlu berpindah.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan tiada berlaku kenaikan aras air di sungai-sungai utama di Terengganu setakat ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!