Operasi cari Loqman diteruskan

Operasi SAR yang bersambung untuk hari kedua hari ini di tempat kejadian di Sungai Pahang, Temerloh. Gambar kecil: Loqman
Operasi SAR yang bersambung untuk hari kedua hari ini di tempat kejadian di Sungai Pahang, Temerloh. Gambar kecil: Loqman
A
A
A

TEMERLOH - Pemuda yang dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang di sini semalam tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik atau perubahan sikap sebelum kejadian.

Setakat ini, mangsa, Loqman Hamka, 20, masih belum ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dihentikan petang semalam disambung semula pagi tadi.

Abang mangsa, Mohd Syahir Hamka, 39, berkata, adiknya itu hanya memberitahu untuk keluar melihat rawai ikan di sangkar ikan patin milik keluarga mereka di tempat kejadian.

"Memang rutin adik melihat rawai ikan di sangkar terbabit setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dalam Sungai Pahang

"Adik keluar melihat rawai ikan pada jam 9.30 pagi dan setengah jam kemudian ada orang beritahu terdapat bot hanyut tetapi adik tidak ditemui.

"Kami sekeluarga berharap adik segera ditemui dalam apa jua keadaan dan saya juga turut serta mencari adik dalam operasi sejak semalam dan hari ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Operasi SAR diteruskan hari ini bagi mencari Loqman yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Temerloh semalam.
Operasi SAR diteruskan hari ini bagi mencari Loqman yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Temerloh semalam.

Artikel Berkaitan:

Mohd Syahir berkata, Loqman merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan seorang pemuda yang rajin serta tidak menimbulkan sebarang masalah kepada keluarganya.

Menurutnya, terdapat 30 sangkar yang juga milik perniagaan keluarga mereka sejak 15 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, seramai 28 orang melibatkan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi SAR bermula jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, seramai 15 penduduk kampung juga terlibat dalam operasi tersebut.

"Hari ini operasi pencarian diluaskan ke enam kilometer dari tempat kejadian," katanya.