12 kluster dikesan aktif di Johor

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 12 kluster aktif dikesan menyumbang peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di negeri ini sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, kluster terbaharu itu antaranya Kluster Gemilang di mukim Tebrau selain Kluster Tanjung Bunga (mukim Plentong), Kluster Batu 7 (mukim Linau) dan Kluster Kobena (mukim Tebrau).

"Ini termasuk Kluster Kota Kecil (mukim Kota Tinggi), Kluster Makmur (mukim Kulai), Kluster Kiambang (mukim Tenggaroh), Kluster Parit Kassan (mukim Grisek), Kluster Jeri (mukim Sedili Besar) dan Kluster Meldrum (mukim Sungai Tiram).

"Begitu juga Kluster Kempas (mukim Tebrau) dan Kluster Padang (mukim Ulu Sungai Johor). Pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih lagi giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam terdapat 60 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini iaitu 54 kes daripada kluster sedia ada termasuk 23 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Gemilang.

Menurutnya, dua kes lagi daripada saringan kontak rapat kes positif dan empat kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

"Kes tertinggi dilaporkan di daerah Batu Pahat di mana 30 kes baharu iaitu 27 kes adalah daripada Kluster Batu 7, satu kes hasil saringan kontak rapat dan satu kes adalah hasil saringan gejala.

"Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sebanyak 1,209 kes. Sebanyak 978 kes telah pulih iaitu 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 209 kes yang aktif diberi rawatan di hospital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan kes yang dilaporkan sehingga kini, katanya, masih lagi disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) termasuk kerap berlaku kes yang bergejala tidak mendapatkan rawatan dengan segera.