PAPUH harap pintu sempadan dibuka selepas tamat PKPP

Kenyataan media dikeluarkan PAPUH semalam. Gambar kanan: Razali Mohd Sham
Kenyataan media dikeluarkan PAPUH semalam. Gambar kanan: Razali Mohd Sham
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) berharap pintu sempadan negara dibuka selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Disember ini.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ia bagi menghidupkan kembali industri pelancongan yang tenat ketika ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh kerajaan dapat mengekang penularan Covid-19 dan pada masa sama sektor pelancongan boleh beroperasi semula.

"Buat permulaan, mungkin kemasukan pelancong asing ke Malaysia boleh dihadkan kepada 1,000 orang dalam seminggu.

"Selain itu, pelancong asing perlu menunjukkan sijil kesihatan bebas Covid-19 semasa tiba di pintu masuk negara dan ini telah pun dipraktikkan oleh Arab Saudi.

"Mereka juga perlu melalui kuarantin wajib selama tiga hari semasa ketibaan dan pada hari keempat pelancong asing perlu melalui saringan Covid-19 sekali lagi bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada Covid-19," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, PAPUH turut mengesyorkan pelancong asing diberikan had maksimum sehingga 10 hari berada di Malaysia (termasuk hari kuarantin) sebagai langkah SOP ketat.

Selain itu katanya, bagi rakyat Malaysia yang ingin keluar negara boleh dihadkan kepada 500 orang dalam seminggu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga perlu melalui kuarantin wajib sebaik pulang ke Malaysia.

"Saya yakin dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara, agensi pelancongan, perhotelan, syarikat penerbangan, syarikat pengangkutan bas, muzium, taman tema, restoran dan pusat membeli-belah akan kembali bernyawa setelah hampir setahun lumpuh," katanya.

Katanya, sektor pelancongan ini mempunyai rantaian ekonomi yang besar dan kompleks melibatkan keseluruhan penggiat industri

"Kami ingin bernyawa kembali dan ingin menjadi penyumbang kedua terbesar dalam ekonomi negara.

"Saya yakin persatuan-persatuan pelancongan lain juga akan bersetuju dengan PAPUH yang ingin melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa negara dan merancakkan kembali industri pelancongan negara," katanya.