X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Bekas kakitangan penerbangan dicadang jadi petugas barisan hadapan

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) memohon kerajaan menimbang menjadikan kakitangan syarikat penerbangan yang diberhentikan kerja sebagai petugas barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19). Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) memohon kerajaan menimbang menjadikan kakitangan syarikat penerbangan yang diberhentikan kerja sebagai petugas barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, walaupun Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar bagi membolehkan peruntukan RM50 juta untuk penyediaan program latihan dan penempatan semula 8,000 kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia direalisasikan, langkah itu belum mencukupi dalam menjamin kelangsungan hidup mereka yang terjejas.

Mengulangi cadangan itu, beliau berkata, apa yang penting ketika ini ialah memastikan golongan tersebut mendapat pekerjaan dan mempunyai pendapatan bulanan bagi meneruskan kehidupan harian.

"Kalau ikuti program latihan, mereka mungkin dibayar elaun RM10 atau RM20 sehari, itu memang tidak cukup. Perlu ada kerja tetap untuk teruskan kelangsungan hidup.

"Mungkin kerajaan boleh lihat semula dengan menyerap kakitangan syarikat penerbangan sebagai petugas barisan hadapan di KKM untuk menangani Covid-19. Kebanyakan pekerja syarikat penerbangan telah dilatih dari segi memberi pertolongan cemas dan keselamatan," katanya.

Pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), diberhentikan kerja setakat 13 November lalu.

Daripada jumlah itu, 40,766 adalah mereka yang terlibat dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.

Sementara itu, bekas pramugara Mohd Hanif Salim, 28, yang hilang pekerjaan sejak Jun lalu berkata, kebanyakan rakannya yang diberhentikan kerja kini menceburi bidang perniagaan dan insurans.

Beliau berkata kebanyakan mereka menggunakan wang pampasan yang diterima untuk memulakan perniagaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mohd Hanif yang kini membantu perniagaan abangnya menjual silinder gas di Kuantan, berkata inisiatif kerajaan menganjurkan pelbagai program latihan bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan adalah sesuatu yang baik, namun tidak membantu sepenuhnya untuk memastikan mereka mendapat pekerjaan.

"Tidak dinafikan program latihan, program rangsangan ekonomi ini bagus. Ini sesuatu yang baik tetapi tidak dapat membantu sepenuhnya. Kami perlu mencari pekerjaan untuk survival. Sekarang kami yang hilang kerja ini cuba sahaja apa-apa pekerjaan yang boleh menjana pendapatan," katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu kembali menjadi pramugara, Mohd Hanif yang mempunyai pengalaman selama enam tahun, berkata sekiranya diberi peluang dan keadaan pulih seperti sedia kala beliau sememangnya mahu kembali bekerja dalam bidang itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!