Adawiyyah perlukan RM1,000 sebulan akibat tumor

Nour Rabiatul Adawiyyah
Nour Rabiatul Adawiyyah
A
A
A

GUNONG SEMANGGOL - Seorang kanak-kanak mengalami ketumbuhan otak di Taman Lembah Beriah, di sini memerlukan bantuan untuk menampung kos perubatan dan pengurusan ditanggung keluarga lebih RM1,000 sebulan.

Lebih malang, kanak-kanak itu, Nour Rabiatul Adawiyyah Iman Mohd Fauzi, 9, bukan sahaja disahkan mengalami ketumbuhan otak, bahkan turut berhadapan masalah penyakit asma, gangguan saraf dan serangan sawan sejak berusia setahun sehingga menyebabkannya terlantar di rumah.

Ibunya, Haslizah Ibrahim, 31, berkata, Nour Rabiatul Adawiyyah atau lebih manja dipanggil Adawiyyah mula mengalami masalah saraf pada usia 1 tahun sebelum disahkan menghidap penyakit asma kronik setahun kemudian.

“Masalah saraf berpanjangan turut memberi kesan langsung kepada tulang belakang Adawiyyah menyebabkan dia tak mampu berjalan dan hanya terlantar di rumah sejak usia 4 tahun.

“Penyakit Adawiyyah tak terhenti setakat itu saja sebab selang beberapa tahun kemudian dia disahkan mengalami ketumbuhan otak. Dia masih dipantau doktor memandangkan saiz ketumbuhan sebesar 4 sentimeter dan jika ketumbuhan dibuang sekarang bimbang memudaratkannya,” katanya.

Haslizah (tengah) menjaga Adawiyyah yang terlantar di rumah akibat pelbagai penyakit kronik selain ketumbuhan otak.
Haslizah (tengah) menjaga Adawiyyah yang terlantar di rumah akibat pelbagai penyakit kronik selain ketumbuhan otak.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan ziarah dan sumbangan daripada wakil Sukarelawan Kelab Kebajikan Sukarelawan dan Sosial (Kelss) cawangan Perak di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu pula diserang sawan kronik setahun lalu yang memberi kesan besar terhadap tahap kesihatannya ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Pelbagai penyakit kronik dihadapi Adawiyyah memerlukan dia menjalani rawatan dan terapi khas sebanyak empat kali sebulan di Hospital Taiping," katanya.

Haslizah berkata, Adawiyyah yang kini terlantar dan tidak boleh bercakap bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas sebagai sumber makanan di samping keperluan lampin bayi untuk pengurusan diri.

“Kos keseluruhan ditanggung saya dan suami untuk tampung keperluan perubatan dan sara hidup Adawiyyah sahaja lebih RM1,000 sebulan.

“Walaupun Adawiyyah ada terima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tapi tak cukup memandangkan pendapatan suami yang bekerja sendiri hanya mampu meraih RM600 hingga RM700 sebulan.

“Selain itu, kami juga perlu menampung kos dan belanja persekolahan dua lagi anak yang kini menduduki Tingkatan 2 di Maahad Ehya As-Sharif dan Sekolah Kebangsaan Bukit Merah,” katanya.

Haslizah turut berharap dia dan suami, Mohamad Fauzi Abd Wahab, 39, mempunyai sebuah kenderaan bagi memudahkan urusan berulang-alik ke hospital.

“Ketika ini, suami terpaksa pinjam kereta kawan dan kalau tak ada, Adawiyyah terpaksa dihantar ke hospital naik motosikal.

“Sampai sekarang, tiada apa yang lebih bermakna dalam kehidupan kami selain memastikan Adawiyyah mendapat segala keperluan mencukupi, biarpun kami hidup serba kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Sukarelawan Kelss, Rohaidatul Asma Jusoh, berkata, pihaknya mewakili NGO itu berkunjung ke rumah Adawiyyah bagi menyampaikan sumbangan susu formula khas dan lampin sebagai bekalan enam bulan bernilai RM4,000.

Menurutnya, Kelss cawangan Perak turut menyalurkan bantuan dana kewangan RM1,000 kepada keluarga Adawiyyah bagi meringankan beban mereka dalam menguruskan kehidupan seharian kanak-kanak istimewa itu,

“Dana RM5,000 berjaya dikutip menerusi sumbangan orang ramai setelah di uar-uar melalui media sosial selepas menerima maklumat Adawiyyah oleh ibunya sendiri yang menghantar mesej memohon bantuan melalui laman sosial KELSS.

“KELSS akan terus memantau perkembangan adik Adawiyyah dari semasa ke semasa dan akan terus menyalurkan sumbangan termampu diperlukan pesakit itu,” katanya.

Rohaidatul Asma berkata, orang ramai yang ingin membantu boleh buat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional, Haslizah Ibrahim

(0890041000096805) atau hubungi talian 011-36030582 untuk pertanyaan lanjut.