Ops Gempur: JAS Kedah keluar kompaun RM94,000

Anggota penguat kuasa JAS menyita barangan di premis yang dikesan melakukan kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Anggota penguat kuasa JAS menyita barangan di premis yang dikesan melakukan kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan 47 kompaun membabitkan nilai keseluruhan RM94,000 terhadap industri pembuatan di daerah Kuala Muda atas pelbagai kesalahan.

Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, jabatan itu turut mengeluarkan 26 Notis Arahan melalui 26 pemeriksaan dalam Ops Gempur siri dua, sepanjang bulan lalu.

Menurutnya, industri terbabit yang dikesan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, antaranya kilang berasaskan getah, percetakan, elektrik dan elektronik, logam, berasaskan kayu serta kilang makanan dan minuman.

"Terdapat dua premis dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan melibatkan 10 peralatan/mesin bagi menghentikan pencemaran serta-merta bawah Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Satu kertas siasatan disediakan bawah Seksyen 34A, akta sama kerana menjalankan aktiviti yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015 tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pemeriksaan rapi dilakukan penguat kuasa JAS ketika operasi di kilang pembuatan.
Pemeriksaan rapi dilakukan penguat kuasa JAS ketika operasi di kilang pembuatan.

Norazizi berkata, antara kesalahan lain yang sering dilakukan adalah kegagalan pengurusan buangan terjadual seperti penstoran buangan terjadual melebihi had dibenarkan, iaitu selama 180 hari atau kurang.

“Terdapat kilang yang gagal melabel buangan terjadual yang dihasilkan dan penstoran buangan terjadual bercampur dengan sisa domestik.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan lain termasuk, gagal menghantar notifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP), tidak mempunyai SPEP, tidak menyenggara SPEP, tiada rekod pemantauan prestasi dan tiada individu berwibawa mengawasi operasi SPEP,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga premis yang gagal memasang alat kelengkapan kawalan pencemaran udara serta gagal menjalankan pemantauan prestasi pelepasan bahan pencemar udara.

“Premis-premis yang telah melakukan kesalahan dikenakan tindakan tawaran kompaun dan Notis Arahan serta-merta bagi tindakan pematuhan, manakala persampelan buangan terjadual serta efluen perindustrian dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia cawangan Kedah untuk dianalisa,” katanya.

Norazizi berkata, operasi akan diadakan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat yang melakukan kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemain industri diminta meningkatkan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan bawahnya serta memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar terjaga," katanya.

Tambahnya, orang ramai juga disaran membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti mencemar alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-aduan JAS, https://eaduan.doe.gov.my.