Waspada 'tetamu tak diundang' ketika musim tengkujuh

Nik Mohd Nor (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian daripada ular tedung selar yang berjaya ditangkap anggota APM Pasir Puteh.
Nik Mohd Nor (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian daripada ular tedung selar yang berjaya ditangkap anggota APM Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Perubahan Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat sejak empat hari lalu menyebabkan penduduk di jajahan ini mula menerima kehadiran 'tetamu tidak diundang' bertandang ke rumah.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, tetamu tersebut ialah ular berbisa apabila sebanyak tiga kes tangkapan telah dikendalikan oleh pihaknya sepanjang tempoh tersebut.

"Ketiga-tiga kes ini melibatkan ular tedung selar sepanjang tiga hingga 3.5 meter yang telah masuk ke kawasan kediaman penduduk," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat APM Pasir Puteh di sini hari ini.

Menurutnya, perubahan cuaca menjadi punca kepada reptilia berbisa itu untuk keluar mencari tempat baharu selepas habitat asal ditenggelami banjir.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah awal dengan menutup setiap lubang yang ada di kawasan rumah selain membuat pemeriksaan.

"Pastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih bagi memastikan reptilia ini tidak bersembunyi seterusnya menunggu masa untuk masuk ke dalam rumah.

"Setakat bulan ini sahaja, APM Pasir Puteh telah mengendalikan 40 kes melibatkan pelbagai jenis ular memasuki rumah penduduk," katanya.

Nik Mohd Nor berkata, sepanjang Januari hingga semalam bagi tahun ini sebanyak 663 ekor ular telah berjaya ditangkap oleh APM Pasir Puteh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ular sawa merupakan spesis yang paling banyak masuk ke dalam rumah penduduk.

"Anggota APM Pasir Puteh sentiasa bersedia untuk berdepan 'serangan' reptilia ini sepanjang musim tengkujuh.

"Walaupun turut terlibat dengan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir bersama agensi penyelamat lain, namun kita sentiasa bersiap siaga untuk sebarang penugasan," katanya.