Polis Marin Sarawak rampas barangan seludup RM64,000

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak merampas pelbagai jenis barangan terkawal dan bercukai bernilai RM64,000 di sebuah jeti persendirian, di Sematan tengah malam kelmarin.

Komandernya Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata lima individu yang terdiri daripada juragan dan anak kapal warga Indonesia juga turut ditahan setelah didapati dalam keadaan mencurigakan semasa sepasukan pegawai dan anggota PPMW5 membuat rondaan di kawasan berkenaan pada 12.05 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui pelbagai barangan terkawal dan bercukai antaranya beras, tong gas dan minuman keras yang dipercayai telah dibawa masuk ke jeti itu untuk tujuan diseludup keluar ke Indonesia menggunakan kapal ‘Barter Trade’.

“Juragan kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan daripada pihak berkuasa ketika diminta oleh pihak PPMW5,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Salehuddin berkata, kesemua barangan telah dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Juragan dan empat anak kapal yang berusia 22 hingga 48 tahun itu ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta 522 Kawalan Padi dan Beras dan Akta Kastam. - Bernama

Artikel Berkaitan: