Polis buru suspek larikan barangan kemas RM1.08 juta

Mohd Hafiz
Mohd Hafiz
A
A
A

JEMPOL - Polis giat mengesan beberapa suspek lelaki yang memecah masuk dan melarikan barangan kemas bernilai RM1.08 juta dari sebuah kedai emas di Taman Margosa Maju, Bahau di sini pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang masih belum dikenal pasti memakai pelitup muka, topi dan bersarung tangan.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pemilik kedai pada jam 9.41 pagi yang memaklumkan premisnya dipecah masuk dan barang kemas yang disimpan dalam peti besi hilang.

"Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan jenayah itu dengan cara memotong besi tingkap nako di bahagian tandas sebelum memecahkan pintu besi seterusnya memasuki bilik kebal," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan pemilik premis mengalami kerugian lebih kurang RM1.08 juta membabitkan kehilangan pelbagai barangan kemas.

Ujarnya, polis telah merampas beberapa peralatan untuk memecah masuk dan memotong besi serta pintu di tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan di balai polis berhampiran.

"Boleh juga menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Raj Kumar melalui nombor telefon Ibu Pejabat Polis daerah Jempol (IPD) 06-4582222," katanya.